BELANJAWAN 2025 > BERITA

Perbezaan Caj Hospital Swasta Jadikan Insurans Perubatan Tidak Mampan - NAMLIFA

09/03/2025 12:14 PM

 

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 9 Mac (Bernama) -- Persatuan Kebangsaan Insurans Hayat Malaysia dan Penasihat Takaful Keluarga (NAMLIFA), menggesa kerajaan untuk menangani isu perbezaan harga ketara antara pesakit yang mempunyai polisi insurans dengan mereka yang membayar secara tunai di hospital swasta.

Tindakan itu penting kerana sebarang percanggahan atau perbezaan bayaran hanya menyebabkan insurans perubatan menjadi tidak mampan.

Ketika menegaskan perkara itu, Presiden NAMLIFA Krishnan Appanu berkata kerajaan juga perlu mewujudkan kemudahan insurans sosial nasional, bertindak mengawal harga hospital dan lebih penting, mempunyai keinginan politik untuk memastikan aspek keuntungan tidak membayangi kebajikan pesakit.

Sambil menyifatkan isu itu sudah terlalu lama berpanjangan, beliau berkata ini turut memberi bebanan kewangan kepada pemegang polisi selain menyebabkan hospital swasta melonjakkan caj untuk pesakit yang mempunyai insurans.

“Ia bukan lagi rahsia apabila hospital swasta mengenakan caj lebih tinggi ke atas pesakit yang mempunyai insurans berbanding yang membayar secara tunai,” katanya kepada Bernama.

 

Penjagaan kesihatan satu keperluan 

Mengulas selanjutnya, Krishnan menegaskan penjagaan kesihatan bukan lagi sekadar satu perniagaan tetapi sudah menjadi keperluan.

Pada masa ini, katanya, kira-kira 54 peratus penduduk di negara ini mempunyai insurans perubatan.

“Sehubungan itu, sebarang praktis berkaitan tidak hanya membabitkan pemegang polisi tetapi turut menyumbang kepada kenaikan kos premium insurans perubatan,” katanya.

Laporan media sebelum ini menyatakan ramai pemegang polisi insurans berhasrat menamatkan polisi masing-masing susulan dibebani kenaikan premium insurans berkenaan.

Menyedari keadaan itu, Krishnan menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) untuk turut campur tangan dan mengawal caj hospital bagi memastikan keadaan lebih adil.

Ini berikutan NAMLIFA juga terus menerima rungutan daripada pemegang polisi mengenai perbezaan dalam bil yang diterima.

“Kerajaan perlu mengambil tindakan segera untuk memantau serta menyeragamkan caj-caj ini. Tanpa tindakan sedemikian, premium insurans akan terus meningkat dan menjadikan liputan penjagaan kesihatan semakin mahal dan di luar kemampuan,” katanya.

 

Laporan PAC tangani isu 

Isu ini terus meraih perhatian sejak kebelakangan ini yang turut menyaksikan Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying memaklumkan Dewan Rakyat pada akhir Februari 2025 mengenai keperluan kajian terperinci untuk meneliti perbezaan caj hospital swasta antara pesakit yang menggunakan surat jaminan dan yang membayar wang pendahuluan sebelum mendapatkan bayaran balik.

Pada masa sama, isu itu dijangka menjadi tumpuan utama dalam laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengenai kenaikan premium insurans kesihatan dan takaful serta caj hospital swasta, yang akan dibentangkan dalam sesi Dewan Rakyat pada Jun ini.

Justeru, Krishnan berkata berharap laporan itu akan membuka jalan kepada pembaharuan dasar penjagaan kesihatan jangka panjang, terutama dalam menangani penetapan semula harga premium yang  menjadi kebimbangan utama bagi pemegang polisi yang kian berusia.

“Kami menjangkakan laporan PAC akan menyediakan rangka kerja jelas bagi memastikan mekanisme harga yang adil dan premium insurans yang mampan.

“Tanpa penyelesaian konkrit, peningkatan kos penjagaan kesihatan akan mengheret lebih ramai rakyat Malaysia dalam kesukaran kewangan," katanya.

 

Penekanan kepada skim insurans sosial 

Selain penglibatan kawal selia, NAMLIFA menyeru kerajaan untuk mengkaji penyediaan skim insurans sosial nasional yang membolehkan rakyat Malaysia untuk mendapatkan rawatan di kemudahan penjagaan kesihatan awam dan swasta.

“Skim insurans sosial yang tersusun dengan baik boleh mengimbangi kepentingan pemegang polisi, syarikat insurans dan penyedia penjagaan kesihatan.

"lni akan mengelakkan kebergantungan yang tinggi terhadap insurans swasta dan pada masa sama memastikan akses yang saksama kepada penjagaan kesihatan yang berkualiti," kata Krishnan.

Beliau berkata tanpa kemahuan politik yang kukuh dan polisi yang tegas, ekosistem penjagaan kesihatan akan terus dipacu oleh keuntungan dengan mengabaikan kesejahteraan rakyat.

Sambil menekankan bahawa penjagaan kesihatan bukan sekadar perniagaan malah merupakan satu keperluan, beliau berkata kerajaan perlu melaksanakan tindakan yang tegas bagi memastikan usaha memburu keuntungan tidak menjejaskan kebajikan pesakit.

 

Pengawalselia perlu bertindak 

NAMLIFA turut menggesa Bank Negara Malaysia (BNM) untuk memastikan hak pengguna dilindungi di tengah-tengah langkah penetapan semula premium insurans perubatan.

“Had terbaru yang mengehadkan kenaikan premium kepada maksimum 10 peratus sehingga 2026 adalah langkah yang tepat.

"Bagaimanapun, pemegang polisi tidak sewajarnya berdepan kelewatan atau penolakan yang tidak wajar dalam penyelesaian tuntutan akibat daripada langkah ini," katanya.

NAMLIFA berkata kerajaan perlu mempertimbangkan untuk menggabungkan kumpulan insurans yang mempunyai tuntutan tinggi kepada kumpulan yang lebih besar bagi meningkatkan kecekapan pengurusan risiko dan seterusnya menstabilkan industri insurans perubatan.

“Kami juga menggesa usaha kolektif daripada Kementerian Kesihatan (KKM), BNM dan Kementerian Kewangan (MOF) terhadap peraturan yang lebih ketat mengenai had perubatan tahunan yang berlebihan dalam polisi insurans, yang telah menyumbang kepada kenaikan kos perubatan.

"Selain itu, NAMLIFA turut mencadangkan penggunaan teknologi bagi memantau dan menguatkuasakan penetapan harga yang adil untuk rawatan perubatan dan bekalan farmaseutikal, memastikan pesakit yang diinsuranskan tidak dikenakan kadar yang lebih tinggi secara tidak adil berbanding individu yang membayar secara tunai," kata Krishnan.

 

Memastikan premium perubatan mampan 

Selain tindakan daripada kerajaan, NAMLIFA turut menekankan kepentingan untuk mendidik orang ramai mengenai penggunaan insurans perubatan yang bertanggungjawab dan menggalakkan syarikat insurans menawarkan pelan insurans yang lebih fleksibel dan mampan.

Krishnan berkata orang ramai yang diinsuranskan perlu menganggap insurans perubatan sebagai keperluan dan bukannya keistimewaan untuk digunakan secara berlebihan.

“Penyalahgunaan polisi insurans seperti tuntutan yang berlebihan dan rawatan tidak perlu menyumbang kepada kos yang lebih tinggi,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan