BELANJAWAN 2025 > BERITA

Malaysia Bakal Anjur WCERM 2025 Di Kelantan

09/03/2025 11:18 AM

KUALA LUMPUR, 9 Mac (Bernama) -- Malaysia akan menganjurkan Persidangan Dunia Senaman dan Perubatan Regeneratif (WCERM) 2025, yang menghimpunkan pakar global dalam sains senaman, perubatan regeneratif dan kesihatan awam dari 5 hingga 7 Julai di sebuah hotel di Kota Bharu, Kelantan.

Persidangan kali ketujuh, yang sebelum ini dikenali sebagai Persidangan Dunia Mengenai Perubatan Senaman (WCEM) diadakan untuk meneroka peranan transformatif senaman dan perubatan regeneratif dalam meningkatkan jangka hayat, menguruskan penyakit kronik dan meningkatkan pemulihan daripada kecederaan dan keadaan degeneratif.

Menekankan peralihan kepada senaman sebagai satu bentuk rawatan yang berkesan, persidangan itu akan meneroka bagaimana senaman telah mencapai tahap molekul, iaitu pengecutan otot menghasilkan protein yang meningkatkan fungsi imun, menurunkan tekanan darah dan gula dalam darah, menyokong pesakit kanser semasa rawatan dan mempromosikan umur panjang dengan memanjangkan telomer.

Pengerusi Penganjur Prof Dr Muhammad Lee berkata WCERM 2025 bertujuan untuk menangani penyakit tidak berjangkit (NCD), yang menyebabkan lebih 140,000 kematian di Malaysia setiap tahun dan 41 juta kematian di seluruh dunia akibat kekurangan aktiviti fizikal.

“Persidangan itu akan menyediakan platform kerjasama untuk penyelidik, profesional perubatan dan pakar industri berkongsi strategi menangani penyakit ini menggunakan senaman dan perubatan regeneratif,” katanya dalam kenyataan kepada Bernama.

WCERM 2025 dianjurkan oleh Kolej Perubatan Senaman Asia dengan kerjasama CELLAAX, sebuah syarikat biofarmaseutikal peringkat klinikal yang pakar dalam sel stem. Acara ini dihoskan bersama Universiti Sains Sukan Hungary, dengan sokongan Kementerian Kesihatan dan Persatuan Senaman dan Perubatan Antarabangsa (ISEM).

Persidangan itu akan mengetengahkan kepentingan perubatan regeneratif yang semakin meningkat, dengan penceramah seperti Pengarah Pusat Penyelidikan Sains Senaman Molekul Hungary Prof Dr Zsolt Radak dan Prof Dr Jyothi Prasana dari Institut Perubatan Regeneratif Manipal, India.

Penyelidikan mereka mengenai sel stem dan senaman akan menjadi tema utama, dengan sumbangan tambahan daripada pakar kardiologi tempatan iaitu Datuk Dr Oteh Maskon dari Hospital Pakar An-Nur dan Dr Cecilia Chan mengenai Demensia.

Sebagai sebahagian daripada persidangan ini, bengkel menarik tentang pilates dan yoga akan dikendalikan oleh pakar senaman tempatan, termasuk dari Kerala, India.

Bagi menarik penyertaan lebih ramai, persidangan itu menawarkan yuran pendaftaran berpatutan iaitu RM1,000 untuk orang dewasa dan RM750 bagi pelajar.

Persidangan itu bertujuan untuk melibatkan pelajar dan penyelidik muda dalam bidang senaman dan kesihatan, dan delegasi yang menghantar abstrak berpeluang untuk menerbitkan penyelidikan mereka dalam Jurnal Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, jurnal yang diindeks Scopus.

Semua kertas penyelidikan akan disemak oleh jawatankuasa saintifik tempatan dan antarabangsa, dipengerusikan oleh Dr Lim Boon Hooi dari Malaysia dan Prof Dr Radak.

Sebanyak 37 penceramah dari lebih 20 negara akan berkongsi pengetahuan dan pengalaman mereka kepada semua yang hadir.

Untuk maklumat lanjut dan pendaftaran persidangan, peserta yang berminat digalakkan melayari laman web rasmi di www.wcem.com.my.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan