BELANJAWAN 2025 > BERITA

MAIK Perkukuh Keberkesanan Sistem e-Agihan Zakat

09/03/2025 10:57 PM

KOTA BHARU, 9 Mac (Bernama) -- Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) terus membuktikan keberkesanan sistem e-Agihan zakat dalam memudahkan penyaluran bantuan kepada asnaf, sekali gus meningkatkan keyakinan pembayar zakat untuk menginfakkan harta mereka.

Yang Dipertua MAIK Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata kejayaan itu terbukti apabila MAIK menerima Anugerah Zakat Kebangsaan 2024 bagi kategori Inovasi Zakat Terbaik (Agihan) menerusi sistem e-Agihan.

“Pembangunan sistem ini selari dengan perkembangan teknologi semasa dan inovasi pendigitalan yang menyebabkan permohonan bantuan zakat MAIK meningkat.

“Keadaan ini bukan sahaja memudahkan urusan permohonan, semakan dan kelulusan bantuan, malah mempercepatkan tempoh pemprosesan menerusi penyediaan platform dalam talian,” katanya ketika berucap pada Majlis Iftar dan Apresiasi Pembayaran Zakat Tahun 2024 di Dewan Bunga Emas, Hotel Perdana, di sini, hari ini.

Terdahulu, seramai 30 orang asnaf menerima bakul makanan dan sumbangan raya sebagai usaha meringankan beban mereka menjelang Aidilfitri.

Tengku Temenggong Kelantan turut menegaskan komitmen MAIK dalam mengagihkan wang zakat secara maksimum setiap tahun kepada golongan yang layak, termasuk di seluruh Kelantan.

Beliau berkata kutipan zakat tahun lalu mencatat sejarah baharu dengan peningkatan 15 peratus, mencecah lebih RM269 juta dalam pengagihan kepada asnaf.

Katanya peranan imam masjid di peringkat negeri, bandar, jajahan dan mukim yang proaktif turut membantu menyelesaikan permasalahan jemaah serta golongan kurang berkemampuan.

— BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan