BELANJAWAN 2025 > BERITA

Ramanan Serah Elaun, Gaji Kepada Enam Surau Sekitar Sungai Buloh Sempena Ramadan

09/03/2025 11:49 AM

KUALA LUMPUR, 9 Mac (Bernama) -- Ahli Parlimen Sungai Buloh yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R. Ramanan menyerahkan gaji dan elaunnya kepada enam surau sekitar parlimen diwakilnya hari ini. 

Beliau berkata penyerahan itu dilakukan bersempena dengan bulan Ramadan, dan sebelum ini rumah ibadat lain seperti masjid, tokong, kuil dan gereja turut menerima sumbangan berkenaan.

“Pada hari ini, antara surau yang menerima manfaat itu ialah Surau Madrasatul Falahiyah, Surau An-Najah Taman Subang Idaman, Surau At-Taqwa, Surau As-Salam, Surau Al-Mukim, dan Surau Al-Hidayah.

“Sejak saya dipilih sebagai Ahli Parlimen Sungai Buloh pada 2022, lebih RM580,000 daripada keseluruhan gaji dan elaun saya telah disumbangkan kepada hampir 100 rumah ibadat dalam kawasan Parlimen Sungai Buloh,” katanya menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman Facebooknya hari ini.

Ramanan berkata penyerahan itu adalah janji yang dibuat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), selain akan terus teguh berpegang pada prinsip berkenaan selagi diberi kepercayaan dan mandat sebagai Ahli Parlimen Sungai Buloh.

“Saya yakin sumbangan yang diterima oleh rumah ibadat ini akan dimanfaatkan sebaik-baiknya demi kesejahteraan dan kebajikan komuniti setempat. Kita bersama-sama membina masyarakat yang lebih harmoni dan sejahtera,” katanya.

Terdahulu, beliau bersama pasukan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sungai Buloh mengagihkan 1,200 paket bubur lambuk di sekitar Bazar Ramadan parlimen berkenaan.

Ramanan berkata beliau akan turun padang untuk mengagihkan 6,000 paket bubur lambuk sepanjang bulan Ramadan di seluruh Parlimen Sungai Buloh secara percuma bagi menyemarakkan suasana, memandangkan sudah menjadi kelaziman makanan itu sebagai juadah istimewa berbuka puasa.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan