BELANJAWAN 2025 > BERITA

Bazar Kraf Aidilfitri Di Kompleks Kraf 18-27 Mac Ini

12/03/2025 06:28 PM

KUALA LUMPUR, 12 Mac (Bernama) -- Persatuan Pengusaha-Pengusaha Batik Terengganu (PPBT) akan menganjurkan Bazar Kraf Aidilfitri 2025 di Kompleks Kraf, Jalan Conlay di sini, pada minggu hadapan susulan penangguhan Hari Kraf Kebangsaan (HKK) 2025.

Yang Dipertua PPBT Shafei Ghazali berkata Bazar Kraf Aidilfitri 2025 akan berlangsung selama 10 hari bermula 18 Mac ini dari 10 pagi hingga 7 malam pada hari Isnin hingga Khamis dan dilanjutkan hingga 10 malam pada Jumaat, Sabtu serta Ahad.

Shafei berkata terdapat 80 gerai yang menawarkan pelbagai jenis batik, songket, perhiasan perak, produk rotan dan aksesori seperti beg tangan, songkok, tarbus dan pelbagai beg serta biskut raya. 

“Kumpulan pengusaha yang terbesar adalah dari Terengganu manakala yang lain dari Kelantan, Selangor, Pahang, Perlis, Melaka, Negeri Sembilan, Sabah dan Sarawak," katanya dalam kenyataan hari ini.

Shafei berkata penganjuran bazar itu bertujuan membantu ahli persatuan memasarkan produk mereka yang telah disiapkan awal untuk penyertaan dalam HKK, yang sepatutnya berlangsung pada 14 hingga 25 Feb lepas.

"Tindakan ini diambil untuk memenuhi hasrat ahli persatuan yang telah mengeluarkan sejumlah besar kos dan tenaga serta mahu memasarkan barangan yang disediakan sejak awal lagi untuk HKK," katanya.

Sementara itu, Setiausaha PBBT Nurul Hamizah Deraman yang bertanggungjawab mempromosikan Bazar Kraf Aidilfitri 2025 berkata pelbagai aktiviti dirancang sepanjang 10 hari bazar itu termasuk cabutan bertuah yang menawarkan hadiah menarik. 

Pengasas yang juga Timbalan Presiden Persatuan Pencinta Tekstil Tradisional (CITRA) Fatimah Ismail berkata penganjuran bazar itu bukan sahaja memberi peluang pengusaha mempamerkan barangan mereka malah dapat menjana pendapatan menjelang Aidilfitri.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan