BELANJAWAN 2025 > BERITA

Imigresen FC Berhasrat Jadikan Stadium Darul Aman Sebagai Gelanggang Tuan Rumah

07/08/2025 11:44 AM

ALOR SETAR, 7 Ogos (Bernama) -- Pasukan Imigresen FC (IFC) berhasrat menjadikan Stadium Darul Aman sebagai gelanggang tuan rumah bagi menghadapi saingan Liga Super 2025/2026, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata pasukan di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) itu telah menghantar surat permohonan kepada Perbadanan Stadium Negeri Kedah bagi tujuan berkenaan.

“Namun sementara menunggu jawapan, kami kena buat persiapan dahulu dan Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang akan menjadi home ground IFC buat masa ini,” katanya kepada pemberita pada Majlis Peluncuran Jersi dan Pengenalan Pemain Pasukan IFC bagi Liga Super Super 2025/2026 di sini malam tadi.

Beliau berkata Stadium Dato’ Sheikh Ahmad, Kangar turut menjadi antara pilihan skuad ‘Mighty Tigers’ apabila proses pengubahsuaian stadium itu selesai dalam tempoh kira-kira tiga bulan lagi.

Saifuddin Nasution berkata bagaimanapun pihaknya tetap melihat Stadium Darul Aman sebagai pilihan terbaik untuk dijadikan gelanggang tuan rumah IFC yang merupakan pendatang baharu Liga Super.

“Kami bercadang untuk pajak (Stadium Darul Aman) bagi satu musim dan ini akan memberi pendapatan yang baik untuk (pengurusan) stadium,” katanya sambil menjelaskan soal pertembungan dengan aksi Liga A1 juga tidak berlaku kerana perlawanan Liga Super berlangsung di sebelah malam.

Saifuddin Nasution berkata IFC memilih untuk berpangkalan di Kedah atau Perlis bagi memberi pilihan kepada peminat di utara tanah air untuk menyaksikan aksi Liga Super selepas tiada pasukan dari kedua-dua negeri itu yang akan beraksi di liga berkenaan musim ini.

“Jadi IFC menawarkan satu pilihan untuk peminat di kawasan utara. Kalau mereka mahu menyaksikan JDT bertarung di utara, maka peluang terbaik apabila IFC bertemu pasukan itu di gelanggang sendiri dan peminat juga ada pilihan kedua untuk menyaksikan pasukan yang bermain di Liga A1,” katanya.

Mengulas mengenai sasaran IFC pada musim ini, Saifuddin Nasution berkata beliau telah memberitahu Ketua Jurulatih Yusri Che Lah untuk memfokuskan kepada membina pasukan yang mampu bersaing. 

“Tidak perlu tertekan dengan sasaran, paling penting adalah memberikan persembahan terbaik di padang, itu fokus saya. Kalau diletakkan tekanan berlebihan, itu boleh menjejaskan pasukan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan