KUALA LUMPUR, 11 Ogos (Bernama) -- Pasukan WorldTeam dari Kazakhstan, XDS Astana Team menampilkan dua pakar pecut handalan mereka Matteo Malucelli dan Gleb Syritsa dalam senarai awal enam pelumba bagi saingan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025, yang dijadual bermula 28 Sept hingga 5 Okt ini.
Malucelli merupakan pemenang jersi merah Raja Pecut dan tiga peringkat dalam LTdL lepas manakala Syritsa mempunyai koleksi empat kemenangan peringkat LTdL.
Empat pelumba lain dalam senarai awal Astana adalah Aaron Gate, Anton Kuzmin, Nicolas Vinokurov dan Lev Gonov.
Ketua Pegawai Operasi Sekretariat LTdl Emir Abdul Jalal berkata pihaknya tidak terkejut dengan strategi pasukan itu, lebih-lebih lagi dengan adanya enam peringkat yang dianggap landai dan memberi kelebihan kepada pasukan yang mengandungi pakar pecut.
“Berdasarkan laluan tahun ini, ada enam peringkat yang kami jangka bakal berakhir dengan pecutan beramai-ramai di garisan penamat, dan pasukan yang memiliki beberapa pakar pecut pasti mahu mengumpul kemenangan peringkat dan dengan kehadiran Malucelli serta Syritsa, Astana tampak ada sedikit kelebihan.
“Ia juga mungkin sebahagian daripada strategi pasukan itu untuk mengimbangi kehadiran pakar pecut pasukan lain seperti pelumba dari Tudor Cycling, Alberto Dainese dan Fabio Jakobsen (Team Picnic PostNL) yang masing-masing memiliki reputasi hebat dengan kemenangan di Giro d’Italia dan Vuelta a Espana,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu Emir berkata berdasarkan senarai awal itu, pihaknya meramalkan strategi XDS Astana berkemungkinan berubah mengikut keadaan dan keutamaan pasukan itu kerana ia bergantung kepada beberapa faktor dan situasi perlumbaan.
“Namun, dengan status sebagai WorldTeam kita boleh katakan barisan pelumba Astana yang hadir kali ini adalah sebuah pasukan yang handal dan agak menonjol,” katanya.
Edisi ke-29 LTdL yang merentasi semua 12 negeri di Semenanjung dengan jarak keseluruhan 1,257.8 kilometer sepanjang lapan peringkat, menarik penyertaan tiga pasukan berstatus WorldTeam, 8 ProTeam, 10 pasukan Benua (Continental) dan satu pasukan kebangsaan iaitu Malaysia.
LTdl yang berstatus ProSeries dalam kalendar Jelajah Asia UCI dianjurkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) dengan kerjasama Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).
Ia akan bermula di Pulau Langkawi pada 28 Sept (peringkat pertama) sejauh 96.5 kilometer (km) diikuti peringkat kedua dari Padang Besar, Perlis ke Kepala Batas, Pulau Pinang (170.1km); peringkat ketiga dari Gerik, Perak ke Pasir Puteh, Kelantan (198.2km); peringkat keempat dari Kuala Terengganu ke Kemaman (140.8km); peringkat kelima dari Temerloh ke Bukit Fraser, Pahang (133.7km); peringkat keenam dari Shah Alam, Selangor ke Port Dickson, Negeri Sembilan (123.4km); peringkat ketujuh dari Melaka ke Medini, Johor (214.6km); peringkat kelapan dari Tangkak, Johor ke Kuala Lumpur (180.5km) pada 5 Okt.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial