KUALA LUMPUR, 8 Ogos (Bernama) -- Pemimpin dunia dan wakil diplomatik pada Khamis menggunakan platform media sosial untuk menyampaikan ucapan sempena ulang tahun ke-58 penubuhan ASEAN, sekali gus mengiktiraf peranan berterusan blok itu dalam memupuk keamanan, kemakmuran dan kerjasama serantau.
Perdana Menteri New Zealand Christopher Luxon menyifatkan ASEAN sebagai “rakan utama” dan meraikan hubungan yang semakin erat antara negaranya dan Asia Tenggara, khususnya ketika kedua-dua pihak menyambut ulang tahun ke-50 perkongsian diplomatik tahun ini.
“Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) berusia 58 tahun, dan ini sesuatu yang New Zealand ingin akui dan raikan,” katanya dalam hantaran di LinkedIn.
Luxon berkata ASEAN kini merupakan rakan dagang keempat terbesar New Zealand dengan hubungan erat antara rakyat, termasuk hampir 10,000 pelajar dari Asia Tenggara sedang menuntut di negara itu.
“Hubungan kita menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi antara kedua-dua pihak… dan kepada semua rakan ASEAN, selamat menyambut 50 tahun persahabatan dan semoga banyak lagi kejayaan bakal dikecapi. Selamat Hari ASEAN,” katanya.
Sementara itu, Menteri Luar Australia Senator Penny Wong turut menyampaikan ucapan serupa di platform X.
“Hari ini, kita meraikan pencapaian ASEAN dalam mempromosikan keamanan, kestabilan dan kemakmuran bersama di rantau ini. Australia adalah rakan yang boleh diharapkan Asia Tenggara,” katanya.
Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia Danielle Heinecke menyuarakan sentimen yang sama, menekankan status Australia sebagai rakan dialog ASEAN yang paling lama sejak 1974.
“Kami terus bekerjasama rapat dengan Malaysia dalam memajukan matlamatnya sebagai Pengerusi ASEAN, dan kekal komited untuk memperkukuh perkongsian kami yang berlandaskan kepada kepusatan ASEAN,” katanya dalam hantaran X.
Dengan latar belakang pemandangan ikonik Kuala Lumpur, termasuk Menara Berkembar Petronas (KLCC), Duta Besar Australia ke ASEAN, Tiffany McDonald merakamkan penghargaan kepada wakil diplomatik di seluruh rantau ini, sambil menegaskan hubungan Australia–ASEAN kini lebih aktif dan penting daripada sebelumnya.
“Hubungan kita lebih aktif dan lebih penting berbanding sebelum ini. Sebagai rakan dialog pertama ASEAN dan rakan strategik komprehensif, kami bangga dapat bekerjasama dengan ASEAN ketika ia melaksanakan visinya untuk komuniti yang berdaya tahan, inovatif, dinamik, dan berpusatkan rakyat,” katanya.
Jepun melalui Duta Besarnya ke Malaysia, Noriyuki Shikata turut mengesahkan komitmennya untuk bekerjasama rapat dengan ASEAN sebagai rakan kongsi yang dipercayai untuk dekad-dekad yang akan datang.
“Kami memuji kepimpinan Malaysia sebagai Pengerusi dan akan terus menyokong ASEAN dengan kuat,” katanya.
Pesuruhjaya Tinggi Kanada ke Malaysia, Jodi Robinson yang menghadiri sambutan Hari ASEAN di Cyberjaya, turut mengucapkan tahniah kepada blok serantau itu.
“Selamat Hari ASEAN. Ucapan Perdana Menteri Anwar memberi tumpuan kepada keperluan negara-negara ASEAN untuk terus maju, untuk bergerak melangkaui pemusatan dan memastikan ASEAN kekal tahan lama dan kukuh dengan hubungan intra-ekonomi yang dipertingkatkan,” katanya dalam hantaran di LinkedIn beserta foto-foto acara.
Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur juga menegaskan komitmen Washington sebagai rakan kukuh ASEAN, dengan menyatakan AS kekal sebagai “rakan kongsi yang berdaya tahan dan boleh dipercayai” bagi blok serantau itu.
“AS terus menjadi penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi di rantau ini melalui hubungan komersial dan perdagangan AS-ASEAN yang meluas, yang menyokong ratusan ribu pekerjaan di seluruh Amerika Syarikat dan ASEAN,” katanya, sambil menyatakan bahawa AS kekal sebagai sumber utama pelaburan langsung asing (FDI) di ASEAN.
Pengerusi Majlis Pentadbiran Negara Myanmar, Jeneral Kanan Min Aung Hlaing dalam mesejnya sempena Hari ASEAN yang diterbitkan oleh The Global New Light of Myanmar, menyampaikan ucapan selamat untuk keamanan dan kemakmuran yang berterusan di kalangan negara-negara ASEAN.
“Saya mendoakan semua rakyat kita di seluruh negara anggota ASEAN terus berjaya, aman dan makmur pada tahun-tahun mendatang. Semoga semangat ASEAN yang berkekalan terus hidup secara kolektif di hati rakyat kita,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Menteri Luar Negeri Vietnam Nguyen Minh Vu, melalui Voice of Vietnam menekankan nilai teras yang terus mentakrifkan semangat ASEAN.
“Kerjasama mengukuhkan kita, dialog menghubungkan kita, inovasi menggerakkan kita, dan ketahanan mentakrifkan kita. Tetapi yang paling utama, perpaduan kekal sebagai ciri paling menonjol ASEAN,” katanya sempena ulang tahun ke-58 blok serantau itu.
ASEAN yang ditubuhkan pada 8 Ogos 1967 dianggotai Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.
Malaysia mengambil alih jawatan Pengerusi ASEAN pada 1 Jan tahun ini daripada Laos, menjadikannya kali kelima memegang jawatan itu selepas 1977, 1997, 2005 dan 2015.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial