KUALA LUMPUR, 9 Ogos (Bernama) -- Kuala Lumpur City (KL City) FC membuka lembaran musim baharu Liga Super 2025/2026 dengan positif selepas mengatasi pendatang baharu Imigresen FC (IFC) 3-0 di Stadium Negeri Pulau Pinang, Batu Kawan hari ini.
Skuad Warga Kota yang bermula perlahan di babak pertama membuka tirai jaringan selepas pemain pertahanan tuan rumah Mohd Rizal Mohd Ghazali tertampan bola ke gawang sendiri ketika cuba mengunci gerakan ketua pasukan Paulo Josue pada minit ke-30.
Tersentak dengan jaringan itu, IFC cuba mencari gol penyamaan namun palang menjadi pemisah buat mereka susulan rembatan deras dari luar kotak penalti oleh tonggak import, Rafael Holstein, selang empat minit kemudian.
Bersambung babak kedua, tonggak baharu KL City, Muhammad Safawi Rasid menambah luka skuad bimbingan Yusri Che Lah apabila menggandakan jaringan pasukannya dengan menanduk masuk bola sepakan percuma dari sebelah kanan oleh pemain import dari Argentina, Manuel Hidalgo pada minit ke-56.
Penjaga gol pelawat Quincy Kammeraad kemudian bertindak cemerlang menafikan peluang besar tuan rumah merapatkan jurang menerusi sepakan penalti penyerang import Joao Pedro pada minit ke-71.
Malang terus menimpa IFC apabila kekasaran dilakukan Holstein terhadap pemain gantian Zhafri Yahya membuka ruang buat Hidalgo mencetak gol ketiga KL City dengan tenang menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-83.
Hasrat tuan rumah untuk sekurang-kurangnya mencari gol sagu hati tidak kesampaian apabila sepakan penalti Holstein pada minit ketiga masa kecederaan separuh masa kedua sekadar menggegar palang sekali gus memberikan permulaan goyah buat mereka dalam penampilan sulung Liga Super kali ini.
Di Sarawak, awang import dari Cameroon, Ronald Ngah Wanja mencuri tumpuan dengan menyumbat dua gol masing-masing pada minit keenam dan ke-71 untuk membantu Kuching City FC tampil penuh garang membelasah Kelantan The Real Warriors (TRW) 4-0 di Stadium Negeri, Kuching.
Dua lagi gol pasukan kendalian Aidil Sharin Sahak dihasilkan pemain dari Timor Leste Joao Pedro yang melambungkan bola ke jaring pasukan lawan pada minit ke-17 dan Muhammad Ramadhan Saifullah Usman melengkapkan kemenangan bergaya mereka pada minit ketiga masa kecederaan babak kedua.
Dalam pada itu, dua gol dalam tempoh empat minit oleh pemain import dari Korea Selatan Park Tae-su pada babak kedua menyelamatkan PDRM FC daripada mengalami kekalahan mengejut kepada pasukan jemputan dari Brunei, DPMM FC, yang berkesudahan seri 2-2 pada aksi di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.
Penyerang Muhammad Ramadhan Sananta meletakkan pelawat di depan seawal minit ketiga disusuli jaringan tonggak tengah Miguel Oliveira tiga minit kemudian sebelum PDRM bangkit memadam kelebihan dua gol dimiliki mereka menerusi Tae-su pada minit ke-68 dan ke-72.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial