BELANJAWAN 2025 > BERITA

Liga Super: Kemenangan Sulung 4-0 Jadi Pembakar Semangat Kuching City FC

10/08/2025 04:40 PM

KUCHING, 10 Ogos (Bernama) -- Kemenangan 4-0 ke atas Kelantan The Real Warriors (TRW) pada aksi pembukaan Liga Super musim 2025/2026 malam tadi bukan sahaja menghadiahkan tiga mata berharga kepada Kuching City FC, malah menjadi pembakar semangat awal skuad bimbingan Aidil Sharin Sahak untuk menghadapi cabaran musim ini.

Penolong ketua jurulatih Kuching City FC Firdaus Morshidi, bagaimanapun mengakui kejayaan di Stadium Negeri itu tidak bermakna pasukan boleh berasa selesa, sebaliknya masih banyak aspek perlu diperbaiki memandangkan sebahagian pemain masih baharu dan sedang menyesuaikan diri dengan corak permainan pasukan.

“Secara keseluruhan, mereka bermain dengan baik. Di atas padang mereka memberikan 100 peratus, begitu juga dalam latihan sebelum perlawanan ini.

“Kemenangan ini memang dirancang untuk memberikan momentum positif kepada skuad,” katanya pada sidang media selepas perlawanan malam tadi.

Mengulas persiapan menghadapi perlawanan seterusnya, Firdaus berkata fokus pasukan kini terarah kepada saingan Piala FA menentang Brunei DPMM pada 16 Ogos, sebelum kembali beraksi dalam Liga Super menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 24 Ogos ini.

“Kita ambil langkah demi langkah... Selepas ini fokus kepada Piala FA dahulu, kemudian berdepan JDT. Perubahan kesebelasan utama pemain untuk perlawanan seterusnya bergantung kepada tahap kecergasan dan situasi kecederaan pemain,” katanya.

Beliau turut optimis Cats mampu melangkah sejauh mungkin dalam Piala FA dan Piala Malaysia sekiranya momentum prestasi dapat dikekalkan.

“Insya-Allah kalau kita pergi lebih jauh lagi, itu lebih baik. Kalau sampai ke final, Alhamdulillah. Sasaran tetap ada untuk menang,” katanya.

Dalam aksi malam tadi, Wanja Ronald Ngah menjaringkan dua gol masing-masing pada minit keenam dan ke-71, manakala Joao Pedro (minit ke-17) serta Ramadhan Saifullah (masa kecederaan) melengkapkan kemenangan bergaya Cats ke atas skuad bimbingan Elavarasan Elangowan.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan