BELANJAWAN 2025 > BERITA

KPT Galak Universiti Swasta Laksana Dapur Siswa

10/08/2025 12:10 AM

KUALA NERUS, 9 Ogos (Bernama) -- Kementerian Pendidikan Tinggi menggalakkan universiti swasta di seluruh negara mencontohi projek Dapur Siswa yang kini dilaksanakan oleh semua universiti awam (UA).

Menterinya Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata pihaknya percaya terdapat pelajar di institusi pengajian tinggi swasta turut menghadapi kekangan kewangan termasuk kerana peningkatan kos sara hidup.

“Saya mendapat maklumat telah ada universiti swasta yang melaksanakan projek Dapur Siswa ini. Kita faham ada kalangan pelajar yang mungkin mempunyai kesulitan dan masalah kewangan. Sebab itu saya telah arahkan di peringkat universiti di bawah Hal Ehwal Pelajar (HEP) untuk melaksanakan projek ini. 

“Seperti apa yang dilaksanakan di UniSZA (Universiti Sultan Zainal Abidin) yang menyediakan makanan untuk 300 pelajar setiap hari bagi memastikan pelajar-pelajar yang dalam kesusahan tidak kelaparan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi ‘In Person With DocZam’ di Dewan Al-Muktafi Billah Shah, UniSZA di sini hari ini.

Dalam pada itu, Zambry berkata beliau juga telah mengarahkan semua naib canselor supaya cakna mengenai mana-mana pelajar yang dalam kesusahan dan segera memberikan bantuan.

Katanya pihak universiti juga perlu segera memaklumkan kementerian mengenai perkara tersebut agar bantuan bersesuaian dapat disalurkan.

 -- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan