BELANJAWAN 2025 > BERITA

Di Sebalik Sorakan Gemuruh, Tersembunyi Kisah Pahit Atlet Muda Negara

10/08/2025 01:38 PM

KUALA LUMPUR, 10 Ogos (Bernama) -- Aroma kopi dari kafe Bike And Bean menyambut kehadiran tetamu di satu sudut kecil di Menara Kementerian Belia dan Sukan, Putrajaya.

Namun, di sebalik kesegaran haruman kopi itu tersimpan kisah pahit Muhammad Firdaus Mohd Zonis, insan yang pernah menjadi harapan besar dalam arena berbasikal trek negara.

Nama Muhammad Firdaus meniti di bibir seluruh peminat sukan tanah air pada 2014 selepas beliau menghadiahkan pingat gangsa pada Kejohanan Berbasikal Remaja Dunia, satu pencapaian yang mengangkatnya sebagai atlet pelapis harapan negara.

Kejayaan pada usia muda itu menjadikannya atlet Malaysia pertama selepas Muhamad Adiq Husainie Othman (2008) yang menaiki podium dalam acara 1 kilometer ujian masa, sekali gus digelar antara penyambung legasi jaguh berbasikal negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang.

Kejayaan itu diperkuatkan lagi dengan rekod kebangsaan dalam acara 200 meter pecut remaja yang masih kekal sehingga kini, menjadi saksi bisu kehebatannya di arena lumba basikal.

Namun, di sebalik sorakan dan podium itu, tersimpan kisah jarang terungkap iaitu keletihan fizikal, tekanan mental dan masalah kecederaan yang perlahan-lahan memadamkan semangat juangnya.

“Masuk peringkat senior, latihan jadi semakin berat. Saya rasa tak cukup bagus walau dah cuba sehabis baik. Kecederaan kecil yang kerap datang, akhirnya jadi beban besar,” luah Muhammad Firdaus, mengimbau detik ketika semangatnya mula pudar.

Konflik semakin memuncak apabila beliau disahkan mengalami kecederaan tulang belakang L4 dan L5, sehingga memaksanya membuat keputusan sukar untuk menamatkan karier yang diimpikan sejak kecil itu lebih awal daripada dijangkakan.

Walaupun pernah mengalami kekecewaan, Muhammad Firdaus bangkit dengan cara tersendiri selepas ‘menggantung’ basikal, dengan menukar hala tuju ke dunia membaiki basikal.

Baginya, kejayaan tidak semestinya datang dalam bentuk pingat yang tergantung di leher, sebaliknya adalah kemampuan untuk bangkit semula, mencari nilai hidup sebenar dan yang paling penting penyembuhan diri sendiri.

“Saya harap lebih banyak kesedaran mengenai isu keletihan diberikan pendedahan dalam kalangan atlet muda negara supaya mereka tahu mereka tidak bersendirian dan ada sokongan jika mereka memerlukan,” katanya.

Pengalaman pahit Muhammad Firdaus bukan satu kisah terpencil kerana ia turut dialami bekas pemain tenis remaja negara Wan Abdul Muiz Wan Aziz.

Pernah menduduki ranking keenam terbaik Malaysia pada usia 16 tahun, Wan Abdul Muiz mengakui kejayaan itu datang bersama tekanan luar biasa.

Anak kelahiran Kelantan yang mula bermain tenis sejak berusia 10 tahun itu pernah dinobatkan sebagai atlet paling berbakat negara

“Orang fikir budak-budak hanya seronok bermain tapi tekanan daripada jurulatih, ibu bapa atau diri sendiri sangat membebankan. 

“Sampai satu tahap saya rasa malas nak berlatih, dan mula persoalkan apa maknanya semua ini,” katanya.

Tempoh latihan antara lapan hingga 10 jam sehari, tanggungjawab akademik dan harapan yang terlalu tinggi, selain permohonan bantuan sering disambut dengan stigma telah menyebabkan Wan Abdul Muiz hilang minat terhadap sukan yang diminatinya.

“Budaya kita kadang-kadang anggap kalau tak tahan, maknanya lemah. Sokongan kesihatan mental untuk atlet muda sangat terhad. Ramai tak faham beban emosi yang kami tanggung,” katanya.

Kisah Muhammad Firdaus dan Wan Abdul Muiz menjadi peringatan bahawa di sebalik sorakan gemuruh, wujud sisi sepi dunia sukan iaitu satu cabaran yang menuntut lebih daripada sekadar kekuatan fizikal, tetapi juga ketabahan hati dan kesihatan jiwa.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan