KUALA LUMPUR, 13 Ogos (Bernama) -- Gabungan pemain berpengalaman dan baharu menjadi taruhan skuad futsal orang pekak negara dalam memburu emas berganda pada Sukan Asia Tenggara (SEA) Pekak 2025 di Jakarta dari 20 hingga 26 Ogos ini.
Ketua jurulatih Lo Fook Fah optimis sasaran itu mampu direalisasikan skuad lelaki dan wanita berdasarkan perkembangan positif serta keserasian yang positif sepanjang sesi latihan menjelang edisi kedua temasya sukan berkenaan.
“Bagi skuad lelaki, lebih kurang enam pemain lama dan empat pemain baharu manakala pasukan wanita pula menggunakan khidmat tiga pemain lama dan dibarisi tujuh lagi muka baharu.
“Saya lihat kerjasama antara mereka sangat baik dan hubungan pemain juga sangat akrab. Skuad lelaki memang kita sasar emas dan sasaran sama turut diletakkan kepada pasukan wanita,” katanya selepas menerima kunjungan Ketua Kontinjen Sarkunan Balakrisnan pada sesi latihan di sini hari ini.
Pasukan lelaki adalah juara bertahan manakala skuad wanita pula menamatkan saingan dengan pingat gangsa pada edisi sulung Sukan SEA Pekak 2022 di sini.
Fook Fah pada masa sama menjangkakan pasukan Thailand dan tuan rumah Indonesia bakal menjadi pencabar utama bagi kedua-dua kategori sukan futsal.
Dengan undian bakal dilakukan setibanya mereka di Jakarta, Fook Fah berkata hanya dua pasukan teratas setiap kumpulan akan merebut slot ke separuh akhir.
Sementara itu, Sarkunan pula berkata tiada sebarang kebimbangan yang timbul memandangkan segala persiapan kontinjen negara mengharungi cabaran Sukan SEA Pekak 2025 berjalan lancar ketika ini.
Malaysia yang bakal membawa kontinjen kedua terbesar ke Sukan SEA Pekak 2025 menetapkan misi memburu 16 pingat emas, sekali gus mempertahankan gelaran diraih tiga tahun lepas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial