KUALA LUMPUR, 11 Ogos (Bernama) -- Pelabur asing muncul semula sebagai pembeli bersih di pasaran Asia pada minggu lepas dengan mencatat jumlah US$996 juta (US$1=RM4.23) berbanding aliran keluar pada minggu sebelumnya manakala Taiwan mencatat angka belian tertinggi di rantau ini.
Laporan Aliran Dana oleh MBSB Investment Bank Bhd (MBSB) bagi minggu berakhir 8 Ogos 2025 menunjukkan India dan Filipina sebaliknya mencatat aliran keluar bersih.
Taiwan mencatat aliran masuk bersih sebanyak US$2.06 bilion atau lebih 2.5 kali daripada US$820.8 juta pada minggu sebelumnya yang juga minggu ketujuh berturut-turut bagi pembelian asing, dipacu oleh pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) bagi suku kedua tahun 2025.
“(Agensi penarafan) Fitch misalnya telah mengesahkan semula penarafan negara jangka panjang Taiwan pada ‘AA’ dengan unjuran stabil yang mengambil kira disiplin fiskal kukuh serta imbangan luaran yang mantap.
“Unjuran itu bagaimanapun dibayangi oleh potensi tarif 100 peratus oleh Amerika Syarikat (AS) ke atas import semikonduktor yang merangkumi sekitar 80 peratus daripada eksport Taiwan ke AS,” kata laporan itu.
Korea Selatan pula meraih aliran masuk bersih US$344.9 juta, membuktikan pembelian berterusan pelabur asing kepada lima minggu berturut-turut, disokong oleh inflasi yang kian mereda dan prestasi eksport yang kukuh.
Thailand berjaya menarik pelaburan asing sebanyak US$199.5 juta atau 3.6 kali lebih tinggi berbanding US$54.9 juta pada minggu sebelumnya, didorong oleh semakan menaik terhadap unjuran pertumbuhan KDNK selepas AS menurunkan tarif bagi eksport Thailand.
Dari segi aliran keluar, MBSB berkata India mencatat aliran keluar terbesar rantau ini yang berjumlah US$1.34 bilion, menjadikan aliran keluar selama empat minggu berturut-turut apabila pelabur menilai risiko tarif dan isyarat dasar monetari.
Bank Rizab India mengekalkan kadar dasar repo (belian semula) pada 5.5 peratus dan mengekalkan unjuran pertumbuhan KDNK tahun kewangan 2026 pada kadar 6.5 peratus atas alasan unjuran inflasi lebih terkawal namun memberi amaran terhadap risiko pertumbuhan susulan impak tarif 50 peratus AS yang berpanjangan.
Selain itu, kata MBSB, Filipina mencatat aliran keluar kecil sebanyak US$0.1 juta yang juga penjualan bersih bagi minggu kedua berturut-turut walaupun negara itu melaporkan pertumbuhan KDNK 5.5 peratus tahun ke tahun bagi suku kedua 2025 dan kadar terpantas dalam tempoh setahun, hasil lonjakan sektor pertanian dan kestabilan perbelanjaan isi rumah.
“Pengurangan terbaru tarif AS ke atas barangan Filipina daripada 20 peratus kepada 19 peratus telah meredakan sedikit tekanan luaran ketika bank pusat kekal berwaspada terhadap risiko inflasi akibat ketegangan geopolitik dan ketidaktentuan dasar luar,” katanya.
Di peringkat domestik, bank pelaburan itu berkata pelabur asing meneruskan aliran jualan bersih untuk minggu kelima berturut-turut pada RM1.14 bilion dengan aliran keluar tertinggi pada Selasa (RM291 juta).
“Hanya dua sektor yang meraih aliran masuk bersih pelabur asing minggu lepas iaitu sektor produk dan perkhidmatan perindustrian (RM62.7 juta) serta pengangkutan dan logistik (RM36.2 juta).
“Tiga sektor teratas dengan aliran keluar bersih pelabur asing tertinggi adalah perkhidmatan kewangan yang berjumlah -RM344.3 juta, penjagaan kesihatan (-RM239.1 juta) dan utiliti (-RM210.2 juta),” katanya.
MBSB berkata institusi tempatan terus mencatat aliran belian bersih untuk minggu kedua berturut-turut dengan pembelian berjumlah RM1.03 bilion atau 3.9 kali lebih tinggi berbanding aliran masuk RM263.7 juta pada minggu sebelumnya.
Dalam pada itu, peruncit tempatan meneruskan aktiviti pembelian bagi minggu kelima berturut-turut dengan aliran masuk bersih RM105.5 juta.
Selain itu, MBSB berkata purata jumlah dagangan harian menyaksikan penurunan secara menyeluruh pada minggu lepas dengan pelabur asing dan pelabur runcit tempatan masing-masing mencatat penurunan sebanyak 6.6 peratus dan 6.1 peratus manakala institusi tempatan sebaliknya meraih peningkatan sebanyak 4.8 peratus.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial