BELANJAWAN 2025 > BERITA

Hampir 1.8 Juta Pelancong China Kunjungi Malaysia Dalam Lima Bulan Pertama 2025 

11/08/2025 01:53 PM

KUALA LUMPUR, 11 Ogos (Bernama) -- Hampir 1.8 juta pelancong dari China direkodkan berkunjung ke Malaysia dalam tempoh Januari hingga Mei tahun ini susulan pelaksanaan pengecualian visa kepada rakyat negara itu.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan berkata sejak dasar berkenaan dilaksanakan pada 2024, jumlah ketibaan pelancong China melonjak daripada 1.6 juta pada 2023 kepada 3.4 juta pada tahun lepas.

Beliau berkata kementerian dengan kerjasama persatuan agensi pelancongan giat melaksanakan pelbagai inisiatif promosi bagi menarik kedatangan pelancong China, khususnya golongan Muslim.

“Antaranya, kita membawa lebih 100 imam dari China dan Eropah untuk melihat sendiri konsep pelancongan mesra Muslim yang sesuai untuk semua lapisan masyarakat tanpa mengira agama,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik (PH-Balik Pulau) mengenai usaha kerajaan menarik pelancong Muslim dari China ke Malaysia.

Menjawab soalan tambahan Wan Hassan Mohd Ramli (PN-Dungun) mengenai strategi kementerian bagi agihan manfaat dan limpahan ekonomi kepada negeri Pantai Timur, Khairul Firdaus berkata promosi bersepadu dijalankan melalui Tourism Malaysia dan Pusat Pelancongan Islam (ITC) untuk memperkenal produk seperti Masjid Kristal ke pasaran ASEAN, Eropah, China, Jepun dan Korea Selatan.

“Usaha ini juga berkait rapat dengan kebudayaan masyarakat setempat dan apabila elemen-elemen ini dapat dibawa dalam promosi, ia akan memberikan limpahan kepada industri seperti inap desa, kraftangan, dan makanan warisan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan