BELANJAWAN 2025 > BERITA

SPRM Cadang Guna Kepakaran UPM, MYOS

11/08/2025 09:37 PM

PUTRAJAYA, 11 Ogos (Bernama) – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bercadang berkolaborasi dengan menggunakan kepakaran dan fasiliti dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Persatuan Obesiti Malaysia (MYOS) bagi melaksanakan program kesedaran berkaitan pengurusan berat badan serta kawalan metabolik.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dato’ Sri Haji Azam Baki berkata, agensi itu komited untuk melaksanakan program itu bagi memperkukuh disiplin kendiri warga kerja SPRM selain membanteras masalah obesiti dalam kalangan penjawat awam.

“Sebagai agensi utama dalam penguatkuasaan dan integriti negara, SPRM menitikberatkan tahap kesihatan fizikal serta mental warga kerjanya,” katanya ketika menerima kunjungan hormat dari Timbalan Dekan (Akademik Sains Kesihatan & HEPA) Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM) Profesor Dr Barakatun Nisak Mohd Yusof dan  Presiden MYOS, Profesor Dr Rohana Abdul Ghani di pejabatnya di sini, hari ini.

Tan Sri Azam pada 3 Julai lalu, mengumumkan bahawa SPRM akan melaksanakan kelayakan kenaikan pangkat yang mewajibkan pegawai dan anggotanya mengekalkan Indeks Jisim Badan (BMI) tidak melebihi 27 bermula Januari 2026.

Namun hasil perbincangan pada hari ini, beliau bersetuju dengan cadangan Profesor Dr Rohana dan  Profesor Dr Barakatun Nisak supaya diambil kira juga penurunan berat badan 5 peratus bagi pegawai yang mempunyai BMI tinggi namun berusaha atau menunjukkan inisiatif dan konsisten untuk menurunkan berat badan serta menjaga kesihatan.

Bermula tahun hadapan, pegawai SPRM yang mempunyai BMI 27 ke bawah atau pegawai yang ada inisiatif menurunkan berat badan akan diletakkan sebagai salah satu syarat yang dipertimbangkan untuk kenaikan pangkat dan tempoh enam bulan diberikan mulai Januari 2026 untuk mencapai berat badan ideal.

Tan Sri Azam juga akan mengadakan Program ‘Lose Weight Challenge” dan akan memberi ganjaran lumayan kepada peserta yang berjaya menurunkan berat badan mengikut tahap dan kriteria ditetapkan sebagai motivasi untuk membantu warga SPRM menjaga kesihatan.

SPRM pada 24 Julai lalu, telah mengadakan Program Kesedaran Pengurusan Berat Badan dan Kawalan Metabolik sebagai langkah awal bagi menyahut saranan BMI tidak melebihi 27. 

Dalam program itu, warga SPRM telah membuat saringan kesihatan asas, termasuk penilaian komposisi badan dan risiko metabolik bagi mengenal pasti individu yang berisiko dan memerlukan intervensi lanjut.

Sementara itu, Profesor Dr Barakatun Nisak dan Profesor Dr Rohana turut membentangkan dapatan data yang diperolehi hasil saringan pada 24 Julai lalu dan sedia bekerjasama dengan SPRM bagi melaksanakan program pengurusan berat badan ini. 

Turut hadir Pengerusi Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) SPRM, Puan Sri Normah Mohd Zin.

--BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan