KUALA LUMPUR, 11 Ogos (Bernama) -- Ratu wushu negara Tan Cheong Min yang memperoleh pingat emas pertama dalam acara wusyu di Sukan Dunia pada Sabtu lepas, mendedikasikan kejayaan tersebut sebagai hadiah sempena Hari Kebangsaan yang bakal diraikan tidak lama lagi.
Beliau berkata kejayaan tersebut turut menjadi pengiktirafan besar kepada sukan wushu, selepas buat pertama kalinya ia dipertandingkan secara rasmi di temasya berprestij itu.
“Pingat emas ini bukan untuk saya seorang, tetapi untuk Malaysia. Ia juga hadiah istimewa untuk sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.
“Sebelum ini, wushu bukan acara rasmi di Sukan Dunia. Jadi, selama ini Asian Games dan Kejohanan Dunia dianggap sebagai pentas tertinggi bagi kami. Saya sangat bangga dan gembira dengan pencapaian ini,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Bekas juara dunia itu berharap kejayaan tersebut menjadi pembakar semangat kepada rakan-rakan atlet untuk terus berusaha meraih kejayaan dan memartabatkan sukan wushu.
Pingat emas yang dimenangi di Chengdu, China itu menyumbang kepada kutipan keseluruhan tiga pingat kontinjen negara di kejohanan berkenaan, iaitu satu emas, satu perak dan satu gangsa.
Atlet kelahiran Melaka itu berkata kejayaan tersebut turut menjadi motivasi buat dirinya, yang kini menumpukan persiapan ke beberapa kejohanan sebelum 2025 berakhir.
“Ada lagi kejohanan yang akan saya sertai, antaranya Kejohanan Wushu Dunia di Brazil pada September, dan saya mahu memastikan dapat meraih emas lagi di sana. Selepas itu, saya akan memberi fokus kepada temasya Sukan SEA di Thailand pada Disember,” katanya.
Sebagai rekod, Cheong Min merangkul gelaran juara dunia 2017 di Kazan, Rusia dalam acara Duilian, sebelum menambah gelaran keduanya pada 2019 di Shanghai, China dalam acara Nandao.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial