BELANJAWAN 2025 > BERITA

Berita-Berita Ringkas Dewan Rakyat: 11 Ogos

11/08/2025 05:19 PM

LEBIH RM6 BILION DIPERUNTUK UNTUK PROJEK PEMBANGUNAN SEKOLAH DAIF DI SABAH

KUALA LUMPUR, 11 Ogos (Bernama) -- Kerajaan meluluskan 389 projek pembangunan semula sekolah  yang mempunyai bangunan daif di Sabah dengan kos berjumlah RM6.07 bilion dari 2016 hingga Ogos ini.

Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata daripada jumlah itu, 233 projek telah siap, 64 projek dalam fasa pembinaan manakala 92 projek pada fasa pra-bina.

"Peruntukan penyelenggaraan sekolah kerajaan yang disalurkan Kementerian Pendidikan untuk Sabah bagi tujuan pelaksanaan kerja-kerja penyelenggaraan dan baik pulih infrastruktur bagi 2023 adalah berjumlah RM98.51 juta, sementara RM54.35 juta (2024) dan setakat Julai 2025, sebanyak RM101.79 juta," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Semporna) mengenai jumlah sekolah daif di Sabah yang dikenal pasti pada 2023 dan jumlah peruntukan penyelenggaraan bangunan sekolah yang disediakan setiap tahun dari 2023 hingga 2025.

-- BERNAMA

 

ASET PERTAHANAN SENTIASA DIPERTINGKAT, DEMI KEDAULATAN NEGARA

KUALA LUMPUR, 11 Ogos (Bernama) -- Kementerian Pertahanan sentiasa meningkatkan keupayaan aset pertahanan secara berterusan bagi memastikan kedaulatan dan keselamatan negara kekal terjamin, kata Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari.

Beliau berkata ia termasuk peningkatan keupayaan radar untuk mengawasi perairan Sabah dan Laut China Selatan, perolehan kapal misi pesisir (LMS), Pesawat Udara Tanpa Pemandu (UAV) serta pembinaan kapal tempur pesisir (LCS).

Adly berkata Kementerian Pertahanan melalui Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah mengatur gerak pegawai dan anggota di pos-pos ATM di Sektor Kudat, Sandakan, Lahad Datu dan Semporna bagi mengukuhkan keselamatan di kawasan Pantai Timur Sabah.

"Selain itu, sebuah pos ATM di Pulau Bakungan Kecil, kawasan Libaran, dilengkapi radar pengawasan serta Tim Tindak Pantas," katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) mengenai keselamatan perairan negara di Laut China Selatan dan perancangan kementerian menggerakkan aset strategik bagi melindungi wilayah Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

-- BERNAMA

 

MOSTI PERKUKUH PROMOSI, PENGGUNAAN PRODUK MYSTI

KUALA LUMPUR, 11 Ogos (Bernama) -- Sebanyak 507 barangan penyelidikan dan pembangunan (R&D) tempatan berjaya menerima pengiktirafan program Penggunaan Barangan dan Perkhidmatan Hasil R&D Tempatan (MySTI) setakat Julai lepas.

Timbalan Menteri berkenaan Datuk Mohammad Yusof Apdal berkata ia meliputi barangan dari pelbagai sektor seperti kesihatan, pertanian, teknologi maklumat, peranti perubatan dan alam sekitar.

“Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bersama agensi dan rakan strategik giat melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memperkukuh visibiliti dan penggunaan produk yang disahkan dengan logo MySTI termasuk penganjuran Pavilion MySTI di acara berimpak tinggi seperti ASEAN Summit, Pameran Reka Cipta, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa (ITEX) dan ekspo kementerian lain,” katanya.

Beliau menjawab soalan S. Kesavan (PH-Sungai Siput) berkaitan status program MySTI pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan