SIBU, 12 Ogos (Bernama) -- Bekas wartawan Edward Subeng Stephen menyeru pengamal media menegakkan prinsip keadilan, ketelusan dan tanggungjawab dalam penyampaian laporan berita memandangkan kewartawanan ialah wadah penting dalam pembangunan negara.
Bercakap selepas menerima Anugerah Tokoh HAWANA 2025 daripada Persatuan Wartawan Sibu (SJA) pada majlis makan malam sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) di sini malam tadi, Edward berkata kewartawanan bukan sekadar melaporkan peristiwa.
“Ia tentang mendidik masyarakat, memupuk nilai murni, moral, keadilan dan keterangkuman. Ia juga bertujuan mencetus inspirasi kejayaan, akauntabiliti dan semangat muhibah,” kata bekas wartawan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Sibu itu.
Edward, 68, yang berkhidmat lebih 40 tahun dalam industri media turut berkongsi pengalaman suka dan duka, termasuk ketika membuat liputan tragedi serta pandemik COVID-19.
Beliau yang menyertai Bernama pada 7 Julai 1997 sebagai Wartawan Daerah di Sibu dan kemudian di Kuching sebelum bersara wajib pada 24 Jun 2018, memulakan kerjayanya sebagai wartawan dan kemudian Penyunting Bahasa Malaysia akhbar The Herald (kini tidak beroperasi) dari Jun 1976 hingga 1978.
Selain itu, beliau pernah menyertai Bahagian Akhbar Jabatan Penerangan di bawah Rajang Security Command (RASCOM) sebagai jurugambar sebelum dilantik sebagai Penolong Pegawai Penerangan yang membuat liputan di Bahagian Sibu, Sarikei, Kapit dan Bintulu.
Selepas bersara daripada Bernama, Edward menyertai Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) dan bertugas sebagai Pegawai Media kepada Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas hingga Jun 2025.
“Satu kelebihan kerana berpeluang mendapat pendedahan kepada suasana politik serta menyaksikan dedikasi Datuk Amar dalam melaksanakan tugas sebagai menteri,” katanya mengenai peranan beliau sebagai pegawai media Uggah selama tujuh tahun.
Anugerah itu disampaikan oleh Albert Tiang yang mewakili Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Michael Tiang.
Edward berharap SJA terus mengiktiraf wartawan yang layak bukan sahaja dari Sibu malah dari Bahagian Kapit, Sarikei dan Mukah.
Penganugerahan buat julung-julung kalinya oleh SJA itu bertujuan menghargai khidmat dan dedikasi wartawan di Sibu.
Turut hadir Pengerusi SJA Florence Nervyn dan Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu Clarence Ting.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial