BELANJAWAN 2025 > BERITA

Bergson Samai Rekod Indra Putra, JDT Tumpaskan Negeri Sembilan 5-3

13/08/2025 12:29 AM

KUALA LUMPUR, 12 Ogos (Bernama) -- Penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson da Silva, menyamai rekod legenda bola sepak negara, Indra Putra Mahayuddin, selaku penjaring terbanyak Liga Super sepanjang zaman dengan 106 gol selepas meledak pada masa tambahan untuk membantu skuad Harimau Selatan menewaskan Negeri Sembilan FC 5-3 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam ini.

Skuad pelawat memulakan aksi dengan garang apabila mengejutkan juara bertahan seawal minit kelapan menerusi Joseph Esso yang bijak menyempurnakan hantaran Ameyaw Alexander Agyakwa.

Empat minit kemudian, Agyakwa sekali lagi menjadi pengumpan, kali ini menerusi sepakan percuma yang disambar Jovan Motika untuk meletakkan Negeri Sembilan di depan 2-0.

Tersentak dengan dua gol awal, JDT membuat pertukaran taktikal dengan memasukkan Arif Aiman Mohd Hanapi pada minit ke-29 dan langkah itu nyata membuahkan hasil apabila sepakan sudutnya pada minit ke-38 ditanduk masuk oleh Jon Irazabal.

Tiga minit berselang, Joao Figueiredo menyamakan kedudukan 2-2 dengan sepakan leret, sekali gus menghidupkan semula semangat juara bertahan menjelang rehat.

Bersambung babak kedua, JDT terus mengasak dan mendahului pada minit ke-57 menerusi jaringan kedua Irazabal selepas menerima hantaran Hector Hevel.

Belum sempat pelawat mengatur semula langkah, Arif Aiman melepaskan rembatan kencang seminit kemudian untuk melebarkan kedudukan 4-2.

Negeri Sembilan kembali merapatkan jurang pada minit ke-60 apabila Motika sekali lagi meledak gol, namun Bergson memastikan tiga mata penuh milik tuan rumah selepas melakukan sepakan gunting pada masa tambahan.

Di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, mport baharu Selangor FC, Kevin Deeromram muncul wira apabila meledak dua gol untuk membantu Gergasi Merah membenam DPMM FC 3-0.

Deeromram membuka tirai jaringan seawal minit kelima sebelum menggandakan kedudukan pada minit ke-36, manakala gol ketiga disumbangkan Chrigor Moraes pada minit ke-67 selepas menerima hantaran Quentin Cheng. 

Sementara itu di Stadium Muhammad IV, Kota Bharu, jaringan penalti Ifedayo Olesegun pada minit ke-79 memastikan Kelantan The Real Warrior (KTRW) mengikat Imigresen FC 1-1.

Imigresen terlebih dahulu di depan menerusi sepakan penalti Eduardo Sosa pada pada minit ke-45.

– BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan