BELANJAWAN 2025 > BERITA

Malaysia Dan ASEAN Perlu Main Peranan Lebih Proaktif Desak Reformasi PBB - UNAM

12/08/2025 05:55 PM

Oleh Wan Muhammad Aslah Wan Razali

KUALA LUMPUR, 12 Ogos (Bernama) -- Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu Malaysia (UNAM) menggesa Malaysia bersama-sama ASEAN memainkan peranan lebih proaktif dalam memperjuangkan pembaharuan segera Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai respons kepada cabaran global yang semakin mendesak serta persoalan mengenai kredibiliti badan dunia itu.

Presiden UNAM, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata dasar luar Malaysia yang berprinsip serta pendirian tegas memperjuangkan keadilan dan undang-undang antarabangsa, khususnya sokongan konsisten terhadap perjuangan Palestin telah mengukuhkan kedudukannya untuk memperjuangkan pembaharuan dalam badan global itu.

“Kami memuji kerajaan Malaysia atas sokongan tegas, berprinsip dan konsisten terhadap perjuangan Palestin.

“Pendirian yang tidak berbelah bahagi ini mencerminkan komitmen negara terhadap keadilan dan undang-undang antarabangsa,” katanya ketika berucap pada forum anjuran bersama UNAM dan Institut Diplomasi dan Hubungan Luar (IDFR) di sini, Selasa.

Forum itu menandakan kerjasama ketiga antara UNAM dan IDFR selepas sambutan Hari PBB tahun lalu serta forum dan debat pada Februari.

Mustapa berkata pendirian Malaysia mengenai Palestin semakin terserlah susulan perkembangan antarabangsa terkini termasuk langkah United Kingdom (UK), Perancis dan terbaharu Palestin sendiri, bergerak ke arah pengiktirafan rasmi negara Palestin.

Mustapa turut menyuarakan kebimbangan terhadap hakisan kepercayaan terhadap institusi multilateral dan PBB pada ketika kerjasama global kini kritikal berbanding sebelumnya.

Kredibiliti dan keberkesanan PBB kini dipersoalkan, justeru Malaysia bersama ASEAN perlu memainkan peranan proaktif dalam mendesak reformasi segera badan dunia itu, katanya.

Beliau menegaskan semula komitmen Malaysia terhadap prinsip yang termaktub dalam Piagam PBB dan menyeru pembaharuan yang mencerminkan realiti semasa dunia.

Mustapa turut menekankan peranan diplomatik Malaysia dalam ASEAN, termasuk kejayaannya baru-baru ini dalam menjadi pengantara bagi memeterai persetujuan mekanisme gencatan senjata antara Kemboja dan Thailand, satu usaha pengantaraan yang disifatkan unik dalam konteks ASEAN.

“Pencapaian ini dibuat walaupun berdepan tekanan kuasa besar seperti China dan Amerika Syarikat, namun pihak yang bertelagah tetap menerima platform ASEAN untuk berdialog,” katanya.

Sementara itu, ketika merumuskan sesi forum bertajuk “The United Nations and Multilateralism”, panel jemputan termasuk Profesor Emeritus Dr Johan Saravanamuttu dari Universiti Sains Malaysia (USM) serta wakil Kementerian Luar merangkap Ahli Majlis UNAM, Prisheela Prakas Raw berkongsi pandangan mengenai peranan multilateralisme dalam tatanan global.

Johan berpendapat walaupun mempunyai kelemahan, PBB kekal sebagai platform paling menyeluruh dan bersifat sejagat bagi menangani cabaran global mendesak.

Mengulas konsep “TINA” atau There Is No Alternative, beliau menegaskan PBB tetap menjadi badan yang tidak boleh diganti, sambil menyeru usaha oleh negara-negara kuasa besar, kuasa pertengahan, kuasa kecil serta pelbagai kerangka kerjasama multilateral serantau bagi mencapai matlamat Piagam PBB, termasuk menamatkan peperangan, mempromosikan keadilan sosial dan memastikan pengagihan sumber global yang lebih adil.

Berkongsi pandangan yang sama, Prisheela menekankan PBB kekal sebagai platform multilateral paling mewakili, dengan 193 negara anggota, selain berharap kemasukan Palestin akan menjadikannya 194 anggota.

“Cabaran yang kita hadapi kini ialah membina semula keyakinan terhadap sistem ini.

“Agenda reformasi adalah satu cara untuk memastikan PBB kekal relevan, setia pada matlamatnya dan mampu menyesuaikan diri dengan realiti semasa,” katanya.

Perbincangan itu dikendalikan oleh Pengarah Pusat Pemerkasaan Kompetensi (CEC) IDFR, Datuk Westmoreland Edward Palon dan dihadiri para diplomat, ahli akademik, pakar hubungan antarabangsa, pegawai kerajaan serta peserta Kursus Latihan Diplomatik untuk Pegawai Penempatan ASEAN Program Kerjasama Teknikal Malaysia: Kursus Diplomasi Ekonomi.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan