BELANJAWAN 2025 > BERITA

Pelabur Malaysia Dipelawa Manfaatkan Peluang Perniagaan Di Bangladesh

12/08/2025 07:56 PM

KUALA LUMPUR, 12 Ogos (Bernama) -- Ketua Penasihat Bangladesh Dr Muhammad Yunus mempelawa pelabur Malaysia untuk meneroka peluang perniagaan luas di negara itu disokong oleh jumlah populasinya yang besar dengan majoriti golongan muda yang kreatif.

Beliau berkata separuh daripada penduduk Bangladesh berusia di bawah 26 tahun, sekali gus menawarkan kelebihan demografi yang ketara.

"Aspirasi dan kreativiti anak muda ini tidak terbatas. Jika diberi peluang, mereka boleh mengubah Bangladesh dan juga dunia,” katanya pada seminar perniagaan mengenai peluang perdagangan dan pelaburan antara Bangladesh dan Malaysia, di sini, hari ini,

 Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Yunus berkata Bangladesh sedang melalui "era baharu" berikutan gerakan yang diteraju oleh golongan belianya baru-baru ini, dengan halangan kepada perniagaan dihapuskan dan kerajaan berusaha untuk menjadikan negara itu mesra perniagaan dalam segala hal.

"Dengan konsep Bangladesh ‘baharu’ ini, banyak perkara telah muncul. Banyak bidang yang belum diteroka sedang diteroka, salah satunya adalah sektor perniagaan.

“Bangladesh sedang berusaha seboleh mungkin untuk menjadi negara yang mesra perniagaan. Kami teruja dengan prospek meluaskan lagi skop perniagaan kami,” katanya.

Beliau juga mengetengahkan sektor yang belum diteroka seperti ekonomi maritim, pasaran perkhidmatan digital dan perdagangan rentas sempadan dengan negara jiran, termasuk Nepal, Bhutan dan negeri-negeri di bahagian timur laut India.

Yunus berkata Malaysia merupakan negara pertama yang menggunakan model Grameen Bank pada awal 1980-an, menerusi penubuhan Amanah Ikhtiar Malaysia.

Beliau berkata contoh sedemikian menunjukkan bagaimana inovasi yang berasal dari Bangladesh boleh membawa kesan global dan menggalakkan perniagaan Malaysia untuk memanfaatkan budaya kreativiti ini.

"Perniagaan di Bangladesh bukan hanya untuk meraih keuntungan, ia juga tentang keseronokan mencipta impak. Kami mengalu-alukan anda untuk turut menyertai usaha kami ini," katanya.

Yunus sedang dalam rangka lawatan rasmi selama tiga hari ke Malaysia dari 11 hingga 13 Ogos.

Bangladesh adalah rakan dagangan dan destinasi eksport kedua terbesar Malaysia di Asia Selatan, dengan eksport utama termasuk produk petroleum, minyak sawit dan bahan kimia, manakala import terdiri daripada tekstil, kasut, produk petroleum dan barangan perkilangan.

Pada 2024, perdagangan Malaysia–Bangladesh meningkat 5.1 peratus kepada RM13.35 bilion (US$2.92 bilion).

Lawatan itu dijangka dapat mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara kedua-dua negara dan meluaskan kerjasama dalam bidang yang saling menguntungkan bersandarkan kepada hubungan diplomatik kukuh yang terjalin bermula 1972.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan