BELANJAWAN 2025 > BERITA

Premier Sarawak Seru Kestabilan Dan Kerjasama Di Laut China Selatan

13/08/2025 11:18 PM

KUCHING, 13 Ogos (Bernama) -- Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyeru ASEAN dan China untuk kekal teguh memastikan Laut China Selatan sebagai rantau yang aman dan makmur, dengan menekankan kepentingan kerjasama konstruktif dan kestabilan.

Berucap pada majlis makan malam gala sempena Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN-China Ke-24 Mengenai Deklarasi Tatalaku Pihak-Pihak Berkepentingan di Laut China Selatan (DOC) di sini malam ini, beliau berkata perhimpunan itu melambangkan usaha kolektif untuk merealisasikan komitmen bersama demi kesejahteraan rantau ini.

“Rantau ini adalah rumah kita bersama dan kita memikul tanggungjawab memastikan ia kekal sebagai laut yang aman dan makmur,” katanya.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohamed Zin.

Abang Johari mengimbas semangat Zon Keamanan, Kebebasan dan Berkecuali (ZOPFAN) yang diilhamkan oleh Persidangan Bandung pada 1955 dan dipromosikan oleh tokoh-tokoh seperti Soekarno dari Indonesia, Jawaharlal Nehru dari India dan Zhou Enlai dari China, yang kekal subur dalam ASEAN sehingga ke hari ini.

Beliau turut melahirkan rasa bangga Sarawak menjadi tuan rumah mesyuarat berkenaan, sambil menegaskan penyertaan negeri itu adalah sebahagian daripada peranan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025.

“Lebih 30 kumpulan etnik hidup bersama dalam suasana aman, harmoni dan saling menghormati di Sarawak. Itulah kekuatan kami, perpaduan dalam kepelbagaian,” katanya, sambil menambah keindahan semula jadi, kepelbagaian biodiversiti serta warisan budaya negeri berkenaan mencerminkan keharmonian antara manusia dan alam.

Sementara itu, Amran dalam ucapannya sebelum itu berkata Sarawak sedang pesat membangun sebagai pusat pertumbuhan utama rantau ini, dengan kemajuan ketara dalam kerjasama ekonomi, pembangunan mampan dan teknologi hijau.

“Dengan penekanan kepada kesalinghubungan tenaga, pengurusan alam sekitar dan inovasi perindustrian, negeri ini bukan sahaja seiring dengan perkembangan serantau tetapi turut memainkan peranan utama membentuk masa depan pertumbuhan mampan ASEAN.

“Peranan Sarawak yang semakin menonjol jelas dilihat melalui kepimpinan negeri ini dalam usaha mengintegrasikan Borneo ke dalam Grid Kuasa ASEAN,” katanya, sambil menambah Sarawak mempunyai potensi besar untuk ditawarkan bukan sahaja kepada ASEAN, malah di peringkat global.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan