KUANTAN, 12 Ogos (Bernama) -- Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) menganjurkan program latihan AI In Action: Revolutionizing News In The Digital Age kepada pengamal media di sini selama dua hari bermula hari ini.
Program berkenaan melibatkan penyertaan 25 pengamal media yang bertugas di negeri ini yang antara lain bertujuan memberi pendedahan dan kemahiran praktikal kepada wartawan dalam menggunakan pelbagai aplikasi kecerdasan buatan AI.
Tenaga pengajar Nitra Sari Omar berkata kursus berkenaan menjadi platform kepada pengamal media untuk menguasai cara menghasilkan kandungan, mengenal pasti topik berita yang menarik, memilih kandungan dengan lebih cepat dan memahami data untuk membantu penulisan berita.
“Menerusi program kemahiran ini wartawan mendapat latihan secara praktikal dalam melengkapkan diri dengan teknologi terkini sekali gus membantu mereka menyiapkan berita dengan lebih pantas,” katanya yang juga mempunyai pengalaman 20 tahun dalam bidang teknologi maklumat.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pengamal Media (Pahang Press) Fazli Ahmad berkata program sebegini penting untuk pengamal media meningkatkan produktiviti dalam menjalankan tugas harian, terutama menghasilkan berita yang berkualiti.
“Dunia kewartawanan perlu berubah seiring dengan perkembangan teknologi dan ilmu kemahiran sebegini sememangnya diperlukan oleh pengamal media di semua peringkat dan program ini seharusnya diteruskan dari semasa ke semasa,” kata wartawan TV3 itu.
Program di Pahang merupakan siri ke-9 dalam penganjuran latihan AI untuk pengamal media dan antara lokasi yang telah dilaksanakan ialah Kuala Lumpur, Sabah, Sarawak, Kedah, Johor dan Terengganu.
Bernama merupakan penyelaras kursus Al untuk media di bawah peruntukan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025.
Program latihan kemahiran sama turut dirancang di Pulau Pinang pada hujung bulan ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial