KUALA LUMPUR, 13 Ogos (Bernama) -- UMNO menyokong penuh keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk inkues penuh bagi menentukan punca dan sebab kematian Zara Qairina Mahathir, termasuk jika terdapat unsur jenayah atau sebaliknya, kata Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Beliau berkata pihaknya berharap proses inkues itu akan dikendalikan secara bebas dan telus mengikut peruntukan undang-undang, bagi mendapatkan keadilan tuntas buat Allahyarham Zara Qairina.
Asyraf Wajdi pendirian itu adalah antara beberapa keputusan dicapai dalam mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO malam ini, yang dipengerusikan Presidennya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“UMNO juga amat dukacita dan cukup terhiris dengan kematian Zara Qairina Mahathir, yang dipercayai akibat buli. Pengendalian kes ini yang dilihat amat lemah, bahkan tidak mematuhi prosedur dan SOP biasa sebagaimana perakuan pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) amat mengecewakan,” katanya.
AGC dalam kenyataan hari ini memaklumkan telah memutuskan untuk mengadakan prosiding inkues berhubung kematian Zara Qairina Mahathir, 13, selepas meneliti laporan siasatan yang dikemukakan oleh PDRM.
Menurut AGC, inkues itu selaras dengan Subseksyen 339(1) Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593) dengan tujuan utama untuk menentukan punca dan sebab kematian Zara Qairina.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk M. Kumar dalam sidang media pula dilaporkan berkata siasatan kes kematian pelajar tingkatan satu itu, yang sebelum ini diklasifikasi sebagai kematian mengejut kini akan menjurus kepada elemen jenayah termasuk kesalahan buli.
Beliau berkata hal itu merupakan antara dua dapatan pasukan khas jabatan berkenaan membabitkan sembilan pegawai dan anggota yang dihantar ke Sabah pada 11 Ogos lepas, untuk menyiasat kes tersebut.
Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu, Sabah pada 17 Julai.
Pelajar itu dibawa ke hospital berkenaan selepas ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama di Sekolah Menengah Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar pada 4 pagi, 16 Julai.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial