BELANJAWAN 2025 > BERITA

Jurulatih Skuad Jang Akui Cabaran Hebat JDT

13/08/2025 11:30 AM

ISKANDAR PUTERI, 13 Ogos (Bernama) -- Ketua Jurulatih Negeri Sembilan FC, Mohd Nidzam Jamil mengakui berdepan cabaran hebat Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi awal Liga Super 2025/2026 di Stadium Sultan Ibrahim malam tadi, yang menyaksikan pasukannya tewas 3-5.

Beliau berkata JDT pasukan yang sangat matang dan dominan dengan gaya permainan berkualiti tinggi yang sukar ditandingi, khususnya ketika Negeri Sembilan berjaya mendahului dan beraksi di tempat lawan.

“Kita kena hadapi tekanan daripada mereka yang sangat matang. Mereka bermain dengan sangat berkualiti dan berdisiplin tinggi. Dalam beberapa situasi, kita lepaskan gol melalui bola mati seperti sepakan penjuru, menunjukkan ada kelemahan yang perlu diperbaiki,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan malam tadi.

Bagaimanapun, Mohd Nidzam memuji komitmen tinggi anak buahnya yang terus menunjukkan kesungguhan walaupun keputusan tidak memihak kepada pasukan.

Beliau menekankan pentingnya mengekalkan sikap positif dan usaha berterusan untuk menjaringkan gol dalam setiap perlawanan.

“Ini bukan mudah tetapi kita berharap dapat mengambil perkara positif dan terus memperbaiki kelemahan terutama aspek taktikal dan disiplin pertahanan,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Nidzam berkata Negeri Sembilan juga akan memberi tumpuan penuh kepada saingan Piala FA yang bakal menjelang tidak lama lagi, dengan kelebihan beraksi di laman sendiri sebagai modal utama meraih kemenangan.

Jurulatih itu turut berharap penyokong dan pihak berkaitan dapat bersabar serta terus memberikan sokongan dalam usaha membangunkan pasukan ke tahap lebih tinggi.

Dengan baki musim yang masih panjang, Negeri Sembilan FC bertekad memperbaiki prestasi dan memperkukuh kedudukan dalam Liga Super Malaysia.

Skuad Jang memulakan perlawanan dengan cemerlang apabila Joseph Esso meledak gol pertama pada minit kelapan, diikuti jaringan Jovan Motika pada minit ke-12 dan ke-60 sebelum JDT bangkit bermula minit ke-38, untuk menewaskan Negeri Sembilan 5-3.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan