BELANJAWAN 2025 > BERITA

KBS Perjuang Dana Untuk Bakat Muda Permotoran

13/08/2025 11:32 AM

KUALA LUMPUR, 13 Ogos (Bernama) -- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan memohon dana tambahan daripada Kementerian Kewangan bagi membantu sukan permotoran dalam misi menyokong pelumba tempatan seperti Hakim Danish Ramli.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata beliau pada masa yang sama turut mengharapkan sokongan khususnya kewangan daripada syarikat korporat untuk sukan permotoran negara bagi memastikan karier pelumba berbakat negara terus bersinar baik di pentas domestik mahupun antarabangsa.

“Seperti yang anda semua tahu, sukan permotoran ini bukan satu sukan yang murah dan pelaburan ini perlu mengambil masa. Jadi, doakan kita berjayalah dalam permohonan untuk mendapatkan lebih banyak dana untuk Hakim Danish,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Sebelum ini media melaporkan pelumba berusia 17 tahun itu memerlukan kos yang tinggi bagi mengharungi perlumbaan yang disertainya musim ini termasuk peluang menampilkan beliau sebagai pelumba wild card dalam Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) Grand Prix (GP) Malaysia di Sepang.

Sementara itu, ditanya mengenai kontrak penganjuran MotoGP Malaysia yang dijangka berakhir tahun depan, Hannah berkata pihaknya sentiasa menyokong penganjuran perlumbaan itu dan sedia untuk memastikan ia kekal di Sepang.

“Setiap kali kalau ada lanjutan, Litar Antarabangsa Sepang (SIC) akan mohon kepada kerajaan dan kita akan sediakan kertas Kabinet serta banyak faktor yang perlu dipertimbangkan. Namun saya memang tahu kerajaan sangat menyokong MotoGP khasnya kerana ia membawa banyak pengunjung ke SIC,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan