BELANJAWAN 2025 > BERITA

Jawatankuasa Siasatan Dapati Tiada Unsur Penderaan Ke Atas Syamsul Haris - Mohamed Khaled

13/08/2025 12:15 PM

KUALA LUMPUR, 13 Ogos (Bernama) -- Jawatankuasa Siasatan mendapati tiada unsur penderaan ke atas pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Syamsul Haris Shamsudin, yang meninggal dunia ketika mengikuti latihan di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PULADA), Ulu Tiram di Johor pada 28 Julai lepas.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata keputusan itu diperoleh jawatankuasa berkenaan yang membabitkan beberapa kementerian iaitu Kementerian Pertahanan, Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Beliau berkata insiden itu berlaku sehari selepas mangsa memulakan latihan pada 27 Julai dan latihan berkenaan dijalankan mengikut arahan garis panduan serta prosedur ditetapkan.

“Keterangan saksi lebih 30 individu termasuk peserta dan jurulatih latihan mengesahkan semua bentuk latihan diberikan berlandaskan prosedur yang telah ditentukan dan tiada penderaan dilaporkan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Angkatan Tentera Malaysia di sini hari ini.

Berdasarkan aspek perubatan, Mohamed Khaled berkata bedah siasat yang dilakukan di Hospital Kota Tinggi dengan kehadiran petugas perubatan tentera mengesahkan bahawa semua bantuan awal diberikan kepada mangsa mengikut prosedur operasi standard (SOP).

“Laporan hospital juga mengesahkan tiada sebarang kesan kecederaan pada jasad, sejajar dengan dapatan siasatan polis. Punca kematian akan diketahui selepas laporan penuh diperoleh, yang dijangka mengambil masa satu hingga dua bulan,” katanya.

Mohamed Khaled menegaskan insiden itu tidak wajar dikaitkan atau disamakan dengan kejadian kematian seorang pelajar di Sabah dan sekiranya terdapat unsur penderaan atau jenayah, pihak kementerian akan memberikan kerjasama sepenuhnya.

Syamsul Haris, 22, dilaporkan meninggal dunia pada 28 Julai ketika menjalani latihan Inokulasi Tempur di PULADA.

Penuntut Semester 2 Ijazah Sarjana Muda Sekuriti Siber UTM yang juga anak sulung daripada tiga beradik itu menyertai latihan Palapes UTM itu bermula 27 Julai lepas dan sepatutnya berakhir 2 Ogos.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan