BELANJAWAN 2025 > BERITA

SPRM Syor Penambahbaikan Institusi Kebajikan DBD, Sarawak

13/08/2025 06:10 PM

PUTRAJAYA, 13 Ogos (Bernama) – Sebanyak tiga kelemahan dikenalpasti dan lima syor penambahbaikan dibentangkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan amalan, sistem dan tatacara pengurusan wang saku serta bantuan penghuni Institusi Kebajikan Desa Bina Diri (DBD) Kuching, Sarawak.

Sesi Pembentangan Laporan Penambahbaikan Tatakelola kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Malaysia telah disampaikan oleh Pengarah SPRM Sarawak, P/TPj Hasbilah Mohamad Salleh kepada Ketua Pengarah JKM Malaysia, Datuk Che Murad Sayang Ramjan di Ibu Pejabat JKM, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Putrajaya, di sini semalam.

Dalam pembentangan itu, JKM bersetuju akan melaksanakan syor penambahbaikan membabitkan tempoh 12 bulan bagi memperkasakan tatakelola terhadap Garis Panduan Pengurusan Kewangan JKM, Bahagian C: Wang Saku Penghuni Institusi.

Pembentangan ini adalah berdasarkan aduan diterima SPRM mengenai ketidakpatuhan pengurusan wang saku dan bantuan penghuni Institusi Kebajikan DBD oleh pegawai kes yang telah menggunakan wang berkenaan untuk kegunaan peribadi serta tidak membuat laporan yang jujur kepada pihak pengurusan.

Lima syor penambahbaikan yang dipersetujui adalah mewujudkan tatacara penyerahan dan pemulangan kad bank penghuni; mewujudkan punca kuasa kepada pegawai kes untuk mengeluarkan wang dan pemegangan kad bank penghuni; mewujudkan akujanji ke atas pegawai kes dalam pengendalian kad bank penghuni; memasukkan pengesahan tandatangan Ketua Institusi dalam borang lejar wang saku penghuni institusi; dan mengenakan tindakan tatatertib terhadap Ketua Institusi atau mana pegawai-pegawai yang gagal melapor serta mematuhi garis panduan ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JKM, Rosmahwati Ishak; Pengarah Bahagian Perundangan dan Penguatkuasaan JKM, Ismail Arul Raj Amirudin; Pengarah Bahagian Pengurusan JKM, Hanani Sidek; Ketua Unit Integriti Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dr. Shahrulnaim Mohd Amin; Timbalan Pengarah Bahagian Penyiasatan Tatakelola SPRM, KPKPj Ahmad Shukri Mohamad Taib; Timbalan Pengarah (Pencegahan) SPRM Sarawak, PKPj Wan Ahmad Nidzam Wan Omar; Penguasa Institusi Kebajikan DBD Kuching dan wakil JKM Sarawak.

--BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan