KUALA LUMPUR, 13 Ogos (Bernama) -- Prince Court Medical Centre telah berjaya melakukan Prosedur Kelly yang pertama di Malaysia, iaitu pembedahan rekonstruktif bagi ekstrofi pundi kencing, sekali gus menandakan satu pencapaian penting dalam keupayaan perubatan negara.
Pembedahan itu dijalankan ke atas seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun dari Indonesia, Isnin lepas, diketuai Perunding Urologi Prince Court Dr Roger Anthony Idi bersama Profesor Imran Mushtaq, Pakar Perunding Urologi Pediatrik dari Great Ormond Street Hospital, London.
Menurut Dr Roger, ekstrofi pundi kencing ialah keadaan urologi kongenital yang jarang berlaku iaitu pundi kencing berkembang di luar tubuh. Menurutnya keadaan itu terjadi pada satu daripada 40,000 bayi baru lahir.
"Keadaan ini boleh dikesan semasa hamil menerusi imbasan antenatal, membolehkan perundingan awal dan perancangan pembedahan,” katanya kepada pemberita pada sidang media, di sini hari ini.
Dr Roger berkata rawatan dijalankan dalam dua peringkat membabitkan peringkat pertama iaitu penutupan utama pundi kencing yang terdedah selepas tiga hari bayi dilahirkan, disusuli Prosedur Kelly (peringkat kedua) pada usia dua hingga tiga tahun.
"Prosedur Kelly pada asasnya ialah pembedahan kami membina semula leher pundi kencing menggunakan otot dan tisu lembut kanak-kanak itu sendiri untuk membina sfinkter berfungsi, yang memberi kawalan pundi kencing yang lebih baik untuk mereka," katanya.
Selain membaiki pundi kencing, Dr Roger berkata prosedur itu juga menambah baik penampilan luaran alat kelamin dan menawarkan kadar kawalan pundi kencing tertinggi berbanding pendekatan pembedahan lain.
Tambahnya tanpa rawatan kedua itu, ramai kanak-kanak akan kekal mengalami inkontinens sehingga remaja dan bergantung pada lampin pakai buang selain berdepan cabaran sosial dan psikologi.
"Mereka sering berasa rendah diri berbanding rakan sebaya, mengelak interaksi sosial malah menghadapi masalah kesihatan seksual di kemudian hari,” katanya.
Beliau berkata sebelum ini, banyak kes ekstrofi pundi kencing di Malaysia tidak segera dirawat kerana ketiadaan pakar bedah tempatan dengan kemahiran khusus yang diperlukan bagi menangani keadaan yang jarang berlaku dan rumit itu.
"Di Malaysia, daripada pengalaman saya di sini, tidaklah begitu jarang untuk menemui kanak-kanak yang dilahirkan dengan ekstrofi pundi kencing, datang pada usia kadang-kadang lima atau enam tahun, yang kebanyakannya, mereka merupakan kanak-kanak yang mungkin tidak mempunyai akses kepada rawatan kepakaran khusus.
"Kami juga mempunyai beberapa situasi pesakit dilahirkan dengan keadaan ini, telah melakukan penutupan tetapi tetap tidak terkawal kerana mereka tidak melalui peringkat kedua, iaitu Prosedur Kelly. Jadi, kumpulan pesakit ini datang pada usia remaja atau awal dewasa," katanya.
Dengan adanya kepakaran melakukan Prosedur Kelly di Pusat Perubatan Prince Court, beliau berkata kini pesakit tidak perlu lagi menunggu atau pergi ke luar negara untuk menjalani pembedahan tersebut, yang akan mengubah kehidupan mereka.
Beliau turut menekankan kepentingan intervensi awal, menjelaskan bahawa pesakit yang lebih muda mempunyai tisu yang lebih lembut dan lebih senang dilentur, yang menjadikan pembaikan secara teknikal lebih mudah dan lebih berkemungkinan untuk berjaya dalam jangka panjang.
"Kami berharap akan dapat menawarkan prosedur ini kepada lebih ramai kanak-kanak yang mempunyai keadaan ini, bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di peringkat serantau dan antarabangsa," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial