KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Bernama) -- Sukan Muay Thai, petanque dan silambam sah akan memeriahkan temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Selangor selepas penambahannya dipersetujui dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Tertinggi SUKMA.
Majlis Sukan Negara (MSN) dalam kenyataan hari ini memaklumkan mesyuarat itu dihadiri Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, Exco Sukan negeri-negeri dan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria.
“Penambahan tiga sukan pilihan itu, Muay Thai, petanque dan silambam dicadangkan oleh Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana SUKMA XXII 2026 Mohd Najwan Halimi serta dipersetujui sebulat suara oleh semua ahli Jawatankuasa Tertinggi SUKMA.
“Dengan penambahan itu, temasya SUKMA XXII Selangor 2026 akan mempertandingkan 30 sukan wajib serta tujuh sukan pilihan dan Jawatankuasa Tertinggi SUKMA juga memutuskan tiada lagi cadangan atau rayuan penambahan sukan akan dipertimbangkan,” menurut kenyataan itu.
SUKMA 2026 dijadual berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos 2026 di sembilan daerah di negeri Selangor.
Sementara itu, Hannah berkata Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedang mengkaji inisiatif penganjuran ‘Non-Sukma Games’ bagi sukan-sukan yang tidak terpilih ke SUKMA dan model baharu penganjuran temasya dwitahunan itu selepas SUKMA Kelantan 2028.
Beliau berkata ia bagi menjamin kesinambungan pembangunan sukan dan atlet tanpa membebankan kerajaan dari aspek penganjuran.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial