PUTRAJAYA, 14 Ogos (Bernama) -- Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar telah meminta Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengutus surat kepada pemimpin Thailand dan Kemboja bagi membolehkan pasukan Malaysia memasuki kawasan konflik bersama Pasukan Pemerhati ASEAN (AOT).
Beliau berkata pasukan AOT dianggotai wakil negara-negara ASEAN dan akan berada di lapangan secara berterusan untuk memastikan serta memantau tiada pelanggaran terhadap perjanjian gencatan senjata.
"Tugas ini adalah berat kerana sempadan sepanjang kira-kira 840 kilometer perlu diperhatikan dan untuk penugasan ini, kita dibantu secara logistik oleh pihak Amerika Syarikat," katanya.
Mohd Nizam berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pemasyhuran bagi mengiktiraf sumbangan cemerlang beliau sebagai Panglima Angkatan Tentera Malaysia sekali gus menjadi individu pertama dilantik ke dalam Hall of Fame Maktab Ketahanan Nasional di sini hari ini.
Beliau berkata selepas selesai mesyuarat Jawatankuasa Am Sempadan (GBC), pihak-pihak terlibat telah bersetuju di bawah perjanjian gencatan senjata untuk menubuhkan Pasukan Pemerhati Interim (IOT) yang dianggotai Atase Pertahanan negara-negara ASEAN.
Mohd Nizam berkata pasukan itu diketuai penasihat pertahanan Malaysia di Bangkok dan penasihat pertahanan negara di Phnom Penh.
"Langkah pertama pasukan ini adalah mengadakan taklimat di Bangkok kepada 75 pegawai kanan daripada pihak Thailand berhubung langkah-langkah yang perlu diambil.
"Perkara sama akan dilakukan di Phnom Penh pada esok dan lusa sebelum mereka membuat lawatan ke zon konflik," katanya.
Beliau berkata mandat utama IOT adalah memastikan gencatan senjata dipatuhi dan menyiasat sebarang laporan pelanggaran daripada kedua-dua pihak.
Thailand dan Kemboja sebelum ini bersetuju untuk mematuhi gencatan senjata di sepanjang sempadan bersama mereka dengan kedua-dua pihak mengekalkan kedudukan anggota tentera sedia ada serta tidak menambah kekuatan ketenteraan.
Mengulas isu kematian pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Mohd Nizam berkata lembaga siasatan serta bedah siasat telah dilaksana dan insiden yang berlaku adalah sebahagian daripada latihan inokulasi tempur.
"Siasatan kami telah lengkap. Sekiranya pihak keluarga ingin mengambil langkah seterusnya, ia adalah hak mereka. Kami tidak mempunyai apa-apa yang ingin dilindungi. Insiden ini langsung tidak ada kaitan dengan kes buli, penderaan dan sebagainya," kata beliau.
Mohd Nizam juga berkata sejak awal tahun ini, ATM telah menegaskan bahawa tiada lagi budaya buli dalam perkhidmatan.
"Yang ada hanyalah latihan-latihan yang membentuk karakter sebagai seorang anggota tentera… kita kena sedar bahawa penugasan kami bukanlah penugasan seperti manusia biasa yang lain… latihan dan laluan yang dilalui anggota tentera adalah lebih sukar dan jerih daripada mereka di luar sana," katanya.
Pada 11 Ogos lepas, ibu pelatih PALAPES UTM Syamsul Haris Shamsudin, 22, telah menggesa agar bedah siasat kedua dijalankan dan rela kubur anaknya digali semula bagi mengetahui punca sebenar kematian.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial