PUCHONG, 15 Ogos (Bernama) -- Pasukan bola bawah 20 tahun (B-20) negara perlu melihat kekalahan 0-16 kepada Jepun pada kempen Kelayakan Piala Asia Wanita B-20 2026 baru-baru ini sebagai satu pengajaran berharga dan tidak berputus asa dengan keputusan itu, kata legenda bola sepak wanita Amerika Syarikat (AS) Brandi Chastain.
Juara Piala Dunia Wanita FIFA sebanyak dua kali itu berkata kekalahan berkenaan tidak perlu dianggap sebagai kegagalan, sebaliknya peluang untuk belajar daripada pengalaman menentang satu daripada pasukan terbaik dunia.
“Penting untuk pemain muda ini memahami bahawa beraksi di peringkat tertinggi bukanlah mudah, terutamanya menentang sebuah negara yang mempunyai sejarah panjang dalam bola sepak wanita, pernah menjuarai kejohanan dunia serta beraksi pada temasya Sukan Olimpik.
“Bagi saya, tiada apa yang perlu dirasakan sebagai kegagalan. Hakikat, mereka masih bersama sebagai sebuah pasukan adalah sesuatu yang amat penting,” katanya kepada Bernama ketika ditemui pada Klinik Bola Sepak Kaki Bangku 2.0 di Sekolah Taman Putra Perdana baru-baru ini.
Sementara itu, jurulatih bola sepak wanita AS Maren McCrary turut sependapat dengan Brandi, menyeru pemain wanita Malaysia supaya kekal berusaha dan berdaya tahan dalam sukan berkenaan.
Beliau berkata pelaburan berterusan dalam pendidikan kejurulatihan amat penting untuk meningkatkan mutu bola sepak wanita di negara ini.
“Pendidikan kejurulatihan adalah satu langkah besar dan ia sedang dilaksanakan. Kami dapat melihatnya hari ini dan usaha itu jika diteruskan akan membantu pemain menjadi lebih baik,” katanya.
Kaki Bangku 2.0 kembali dengan pengisian menarik, diterajui misi Kedutaan AS untuk memberi inspirasi dan memperkasa golongan belia Malaysia melalui bola sepak.
Sepanjang lawatan lima hari Brandi dan Maren, mereka akan mengendalikan klinik bola sepak dinamik bersama pelajar sekolah serta berkongsi kepakaran melalui sesi ceramah di kelab-kelab bola sepak di Malaysia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial