BELANJAWAN 2025 > BERITA

Semangat Kental Pasukan Drumline SK Pendang Dorong Kejayaan Rangkul Tiga Kejuaraan

17/08/2025 01:12 PM

PENDANG, 17 Ogos ( Bernama) -- Peralatan uzur dan pelbagai masalah teknikal yang dihadapi pada saat akhir sebelum Malaysian Arts Championship (MIMAC) 2025, tidak mematahkan semangat Pasukan Drumline Sekolah Kebangsaan (SK) Pendang di sini, untuk muncul juara bagi tiga kategori utama kejohanan tersebut.

Dikenali sebagai ‘Pendang Youth Tiger’, pasukan diketuai Muhammad Azim Akhwan Izwandy, 12, itu mempamerkan aksi cemerlang dari awal saingan hingga berjaya mengungguli kategori Junior Face-Off’, Senior International Face Off  dan Ultimate Showdown, pada kejohanan yang berlangsung di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur bulan lepas.

Muhammad Azim berkata walaupun sedikit gugup kerana berhadapan dengan pesaing yang lebih senior dan berpengalaman termasuk pasukan dari Indonesia, dia dan rakan-rakannya tetap berjuang bagi memastikan kemenangan berpihak kepada mereka.

"Mula-mula takut juga bila tengok pesaing tapi selepas dapat bertenang kami terus lawan sahaja. Paling takut saingan kolej dari Indonesia tapi kami lawan juga sampai menang," katanya kepada Bernama.

Pendang Youth Tiger dianggotai 22 murid sekolah rendah yang merupakan sebahagian daripada kumpulan pancaragam briged muzik SK Pendang, keseluruhannya seramai 112 orang.

Jurulatih pasukan Mohd Zubir Haron berkata semangat waja murid semasa latihan serta sokongan padu waris adalah penyumbang terbesar kepada kejayaan pasukan itu yang merangkumi murid berusia 10 hingga 12 tahun. 

"Kejayaan ini tidak datang dengan mudah, pelbagai cabaran ditempuhi ketika latihan antaranya peralatan yang uzur dan pelbagai masalah teknikal hingga menyebabkan pasukan tiba lewat pada hari kejohanan.

"Alhamdulillah, semangat budak-budak ini tetap kuat dan semua pihak tidak putus memberi motivasi kepada pasukan ini," katanya.

Sementara itu, Guru Besar SK Pendang Mohd Nasir Yaacob berkata kejayaan di peringkat tinggi itu adalah bukti semangat dan kesungguhan serta kerja kuat semua pihak yang terbabit dalam penubuhan Pendang Youth Tiger.

Beliau berkata menjuarai tiga kategori merupakan kejayaan luar biasa yang patut dicontohi pelajar lain dan menjadi penyuntik semangat untuk melakar kejayaan lebih tinggi. 

"Saya rasa kejayaan ini bukan sahaja membanggakan sekolah tapi membanggakan Pejabat Pendidikan Daerah Pendang, Jabatan Pendidikan Negeri Kedah dan paling berbangga sudah tentu waris pelajar terlibat,” katanya.

-- BERNAMA  


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan