BELANJAWAN 2025 > BERITA

TFC Tidak Ambil Mudah Cabaran Pendatang Baharu Imigresen FC

16/08/2025 04:30 PM

KUALA NERUS, 16 Ogos (Bernama) -- Ketua jurulatih Terengganu FC (TFC) Badrul Afzan Razali menegaskan pasukannya tidak akan memandang mudah cabaran pendatang baharu, Imigresen FC menjelang aksi pertama pusingan 16 Piala FA di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang, petang esok.

Bekas pemain tengah itu berkata kelebihan beraksi di laman sendiri pasti dimanfaatkan sepenuhnya oleh skuad lawan untuk mencari bekalan gol sebelum aksi timbal balik.

“Bermain di tempat lawan pada perlawanan pertama memberi sedikit kelebihan kepada pihak lawan, tetapi kita sudah melakukan persiapan rapi. Pemain perlu kekal fokus dan berdisiplin bagi memastikan permainan berjalan mengikut perancangan.

“Saya akui pemain masih kepenatan kerana jadual padat, namun ia bukan alasan kerana semua pasukan melalui situasi sama,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, penyerang import dari Perancis, Yan Mabella bertekad menjaringkan sebanyak mungkin gol bagi membantu skuad Penyu mara ke suku akhir.

Menurutnya, sokongan padu penyokong ketika seri 2-2 dengan PDRM FC pada aksi Liga Super Jumaat lepas menjadi pembakar semangat untuk terus menampilkan aksi terbaik.

“Kami ada tiga perlawanan dalam seminggu, jadi perlu melakukan pemulihan segera dan bersedia berjuang sepenuh tenaga.

“Peminat sentiasa memberi sokongan sejak hari pertama saya tiba. Saya amat menghargainya dan akan cuba memberi aksi terbaik demi penyokong dan kelab,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan