BELANJAWAN 2025 > BERITA

Raja Muda Perlis Saran Rakyat Optimumkan Kemudahan NADI

16/08/2025 06:05 PM

PADANG BESAR, 16 Ogos (Bernama) -- Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail hari ini menitahkan rakyat negeri ini supaya mengoptimumkan penggunaan kemudahan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) yang beroperasi di negeri itu untuk kemajuan diri, keluarga dan komuniti.

Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah terdapat 17 NADI di seluruh negeri yang memainkan peranan penting sebagai hab rujukan komuniti setempat selain menyediakan akses pelbagai bentuk latihan dan maklumat serta bimbingan secara menyeluruh.

"Marilah kita bersama-sama memanfaatkan peluang yang tersedia ini untuk membina masyarakat yang lebih celik digital, berdaya saing dan progresif," titah baginda semasa berkenan merasmikan Program Perlis Connect di Padang Besar Street di sini hari ini.

Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri Perlis Rus'sele Eizan dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa.

Hadir sama Ahli Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Jen (B) Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin, Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin, Pengarah Urusan MCMC Abdul Karim Fakir Ali dan Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj.

Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah penganjuran Perlis Connect bukan sekadar inisiatif untuk memperluas capaian Internet, tetapi juga manifestasi sebenar keterangkuman digital dan merangkumi semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang atau lokasi.

"Komitmen jitu yang ditunjukkan oleh Kementerian Komunikasi, MCMC, Bernama, syarikat-syarikat telekomunikasi serta rakan strategik amat membanggakan," titah baginda.

Raja Muda Perlis bertitah teknologi pada masa ini tidak lagi terhad kepada bandar besar tetapi turut “menyinari” pekan kecil dan perkampungan yang mencipta peluang pekerjaan, menambah sumber pendapatan, serta mempertingkatkan kualiti hidup rakyat secara komprehensif.

Baginda bertitah pelancaran inisiatif Perlis Connect juga adalah lambang kejayaan sebuah kerjasama strategik yang utuh, berteraskan visi bersama dan semangat kolektif untuk memastikan setiap lapisan masyarakat menerima manfaat daripada kemajuan teknologi digital.

"Usaha bersepadu ini wajar diteruskan dan diperluas demi memastikan impak yang berterusan kepada rakyat,” titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah pelaksanaan aktiviti seperti sesi libat urus antara orang awam dan penyedia perkhidmatan, taklimat mengenai perayauan, pendedahan berkaitan keselamatan siber dan e-pembelajaran antara langkah penting dalam membentuk sebuah masyarakat yang celik digital.

Pada masa sama, baginda bertitah transformasi digital bukan semata-mata soal infrastruktur seperti menara 5G, tetapi juga nilai murni seperti kepercayaan, etika dan disiplin digital. 

"Saya mendambakan generasi muda yang celik teknologi, warga emas yang yakin dan belia berjiwa pemimpin serta bertanggungjawab. Saya komited untuk menyokong semua inisiatif yang membawa nilai, kemahiran dan maruah kepada umat negeri ini,” titah Raja Muda Perlis. 

Perlis Connect anjuran MCMC dengan kerjasama Bernama antara lain bertujuan memberikan panduan kepada orang ramai mengenai penggunaan Internet selamat termasuk buli siber dan penipuan selain meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai perayauan supaya tidak dikenakan caj tambahan semasa berada di kawasan sempadan.

Program itu juga memberikan peluang kepada komuniti mengetahui kemudahan NADI apabila Perlis Connect juga menyediakan platform kepada usahawan NADI Perlis untuk memasarkan produk mereka.

Selain itu, terdapat juga pengisian pocket talk mengenai isu buli dalam penganjuran program sehari itu dalam usaha kerajaan memperhebat antibuli dalam kalangan pelajar.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan