BELANJAWAN 2025 > BERITA

Singapura Akan Anggap Rokok Elektronik Sebagai Isu Dadah – PM Wong

17/08/2025 11:42 PM

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 17 Ogos (Bernama) -- Singapura akan menganggap penggunaan rokok elektronik atau vape sebagai isu dadah serta mengambil tindakan lebih tegas dengan mengenakan hukuman lebih berat terhadapnya, kata Perdana Menteri Lawrence Wong.

Wong, yang juga Menteri Kewangan berkata setiap generasi bimbang tentang pengaruh negatif yang menjejaskan golongan muda dan rokok elektronik telah muncul sebagai satu kebimbangan yang serius.

Beliau berkata kebanyakan vape bukan sekadar rokok elektronik, tetapi dicampur dengan bahan menyebabkan ketagihan dan berbahaya seperti etomidate, dan keadaan ini boleh menjadi lebih buruk pada masa masa hadapan.

“Setakat ini kita telah menganggap rokok elektronik seperti tembakau, paling berat kita kenakan denda, tetapi itu tidak lagi mencukupi.

“Kita akan menganggap ia sebagai isu dadah dan mengenakan hukuman yang jauh lebih berat. Ini termasuk hukuman penjara dan hukuman lebih berat bagi mereka yang menjual rokok elektronik dengan bahan berbahaya,” katanya pada Rapat Umum Hari Kebangsaan (NDR) yang diadakan di Ibu Pejabat Institut Pendidikan Teknikal (ITE), di sini.

Beliau berkata bagi mereka yang ketagih kepada rokok elektronik, kerajaan akan menyediakan pengawasan dan pemulihan untuk membantu mereka berhenti.

Wong menambah kerajaan akan mempertingkatkan penguatkuasaan di seluruh negara dan melancarkan kempen pendidikan awam secara besar-besaran -- bermula di sekolah, institusi pengajian tinggi dan semasa perkhidmatan negara.

Kementerian Ehwal Dalam Negeri dan Kementerian Kesihatan akan menerajui usaha itu, namun ia merupakan satu gerakan menyeluruh seluruh kerajaan.

Sebelum ini diumumkan bahawa etomidate akan diklasifikasikan sebagai dadah terkawal Kelas C di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah.

Sementara itu, Wong ketika berucap dalam Bahasa Melayu, berkata Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS) yang diumumkan penubuhannya tahun lepas, akan mempunyai kampus tersendiri di Rochor.

Kampus itu akan terletak bersebelahan kampus Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) dan pelajar SCIS boleh mengambil kursus sains sosial di SUSS sebagai sebahagian daripada pengajian mereka.

Beliau turut memaklumkan bahawa Taman Warisan Melayu yang akan dibuka semula tahun depan akan mempunyai galeri dan program baharu sebagai sebahagian inisiatif untuk melestari dan memupuk warisan Melayu Singapura.

NDR diadakan dalam tiga segmen iaitu Bahasa Melayu, Mandarin dan Bahasa Inggeris.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan