BELANJAWAN 2025 > BERITA

SIC Rangka Pengembangan Jangka Panjang Selepas Kembali Catat Keuntungan – CEO

17/08/2025 11:35 AM

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 17 Ogos (Bernama) – Selepas mengharungi tekanan kewangan akibat pandemik COVID-19, Litar Antarabangsa Sepang (SIC) kini merangka hala tuju pertumbuhan baharu yang berpaksikan pemanfaatan tanah, pelaburan strategik dan pengembangan tawaran komersial.

Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO) Azhan Shafriman Hanif berkata pihaknya sedang memuktamadkan pelan perniagaan jangka panjang selama 10 tahun bagi membuka potensi komersial tanah simpanannya seluas 303 hektar.

“Kami hanya menggunakan kira-kira 50 peratus daripada tanah simpanan ini semasa program antarabangsa. Selebihnya tidak dimanfaatkan sepanjang tahun.

"Kami mahu mengubah keadaan ini dengan membawa masuk pelabur untuk membangunkan hotel, kemudahan sukan permotoran, penyimpanan kenderaan, tarikan pelancongan serta premis makanan dan minuman (F&B),” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual baru-baru ini.

Menurut Azhan Shafriman, satu halangan utama dihadapi pihaknya iaitu isu pegangan tanah yang masih belum diselesaikan, namun, perkara itu kini hampir dimuktamadkan.

Beliau menjelaskan, walaupun Kementerian Kewangan (MOF) mengambil alih kemudahan SIC daripada Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) pada 2009, namun, tanah berkenaan masih berada di bawah pemilikan MAHB.

“Setiap pelabur pasti akan bertanya dengan siapa saya perlu tandatangani pajakan? Dan kami tidak dapat memberikan jawapan yang jelas.

"Dengan kemajuan dalam perjanjian pajakan kecil (sub-lease) kini, kami akhirnya boleh merundingkan pajakan jangka panjang dan membuka peluang pelaburan,” katanya.

Azhan Shafriman yang mula menerajui SIC pada April 2020 berkata, pada awal tahun kepimpinannya, beliau banyak tertumpu kepada pengurusan krisis memandangkan COVID-19 menghentikan semua program berskala besar yang merupakan penyumbang utama kepada hasil litar itu.

“Ia sangat sukar. Kami tidak boleh memberhentikan pekerja atau memotong gaji kerana berada di bawah MOF dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS). Bagaimanapun, kami terpaksa mengehadkan elaun dan menghentikan kerja lebih masa,” tambahnya.

Walaupun berdepan cabaran, tempoh rehat berkenaan menjadi peluang untuk “mengemas” isu-isu warisan yang lama berlarutan termasuk menyelesaikan perkara berkaitan cukai dan menaik taraf loji rawatan kumbahan yang tidak berfungsi dan diabaikan sejak 2015.

“Kami berjaya mendapatkan pembiayaan melalui MOF dan KBS untuk membaiki infrastruktur kumbahan serta menaik taraf sistem paip yang sudah lama tidak diselenggara,” katanya.

Pada 2023, SIC mencatatkan keuntungan buat pertama kalinya sejak pandemik dengan kemunculan semula program antarabangsa seperti MotoGP.

“Tahun itu menandakan titik perubahan kami. Pada 2022, kami hanya mempunyai enam bulan untuk bersiap sedia berdepan MotoGP selepas sempadan dibuka semula pada April.

"Namun, kami berjaya melaksanakannya,” kata Azhan Shafriman sambil memberitahu 2022 merupakan musim MotoGP pertama beliau sejak mengambil alih jawatan CEO SIC.

Selain daripada sukan permotoran, beliau membayangkan untuk mengubah Sepang menjadi hab gaya hidup dengan kemudahan yang dipertingkatkan untuk pelawat dan kakitangan.

Langkah kecil tetapi simbolik, sebuah kafe tepi tasik sudah dibuka yang kini menjadi satu-satunya premis F&B dalam kawasan litar, kata Azhan Shafriman.

“Ini kedengaran mudah, tetapi sebelum ini, anda terpaksa memandu keluar hanya untuk mendapatkan makan tengah hari. Kami memerlukan lebih banyak kedai makan, kedai serbaneka dan ruang mesra keluarga. Kami mahu orang datang ke sini, lepak serta menikmati lebih daripada sekadar perlumbaan,” katanya.

Azhan Shafriman berkata, perbincangan sedang dijalankan bagi membangunkan tapak komersial untuk jenama F&B tempatan serta kemudahan harian bagi memenuhi keperluan pengunjung program, kakitangan dan komuniti sekitar.

Beliau menambah, kehadiran SIC memberikan kesan limpahan yang nyata kepada peniaga kecil dan komuniti di sekitar Sepang.

“Ia memberi manfaat kepada komuniti. Sepang sudah dibina atas dua tonggak iaitu sukan dan pelancongan serta apa yang kami lakukan, menyokong kedua-duanya,” katanya.

Walaupun litar berkenaan tidak lagi menjadi tuan rumah kepada Formula 1, SIC berkembang menjadi hab sukan permotoran dan hiburan yang rancak dengan kalendar program yang penuh selain tempahan penuh sehingga tahun depan.

Orang ramai juga sudah kembali dan acara Super GT baru-baru ini menyaksikan kehadiran lebih 78,000 penonton yang diperkukuh dengan kerjasama bersama Festival Nihon Matsuri, kata Azhan Shafriman.

Beliau menekankan pada tahun lepas, SIC menerima kehadiran kira-kira 200,000 hingga 300,000 penonton di semua program.

“Kami melakukan lebih daripada sekadar sukan permotoran. Anda perlukan muzik, makanan, gaya hidup. Itulah cara kami menarik orang ramai,” tambahnya.

Azhan Shafriman juga percaya iaitu lokasi strategik SIC yang berhampiran dengan Pelabuhan Klang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, memberikannya kelebihan unik untuk menjadi hab serantau bagi sukan permotoran, gaya hidup serta pameran automotif.

“Bayangkan anda menganjurkan pameran automotif di sini. Bukan sahaja anda dapat melihat kereta-kereta itu, tetapi anda juga boleh mengujinya di litar. Anda tidak boleh melakukan itu di jalan raya biasa,” katanya.

SIC sudah menjadualkan konsert, pameran dan persidangan sepanjang tahun sambil berusaha menarik penganjur untuk acara baharu pada 2026.

Sorotan akan datang termasuk Malaysian Festival of Speed (MFOS) yang menampilkan acara drift dan slalom karting yang akan diadakan pada September.

Dengan MotoGP kekal sebagai acara utama, Azhan Shafriman berkata, strategi SIC untuk mengekalkan perlumbaan antarabangsa sambil menarik peminat tempatan melalui tawaran yang kreatif dan pelbagai.

“Matlamatnya untuk memenuhi kalendar dengan lebih banyak program utama agar kekal relevan. Sama ada F1 atau tidak, kami membina model yang berkembang maju,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan