BELANJAWAN 2025 > BERITA

Jangan Takut Tonjol Semangat Patriotisme, Kibar Jalur Gemilang - Fahmi

17/08/2025 03:49 PM

KUALA LUMPUR, 17 Ogos (Bernama) -- Rakyat dinasihatkan supaya tidak takut atau gusar menonjolkan semangat patriotisme dengan mengibarkan Jalur Gemilang sempena Bulan Kebangsaan, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Beliau yang juga jurucakap Kerajaan MADANI berkata walaupun terdapat beberapa individu yang cuba menimbulkan rasa takut terhadap aktiviti tu, ia tidak seharusnya mengikis semangat patriotisme dalam kalangan rakyat. 

“Jangan takut untuk mengibarkan Jalur Gemilang. Jangan rasa gentar. Ada yang bimbang disebabkan tindakan segelintir kumpulan kecil yang cuba mengapi-apikan sentimen dan mengambil kesempatan di atas keadaan untuk menakut-nakutkan orang ramai.

“Jangan ambil tindakan bagi pihak polis, biarlah polis yang menyiasat. Jangan ambil tindakan bagi pihak Jabatan Peguam Negara, biarlah Peguam Negara yang mendakwa. Jangan ambil tindakan bagi pihak hakim,” katanya ketika merasmikan Program Penyemarakan Seni Budaya @ Komuniti Pantai Dalam 2025 di sini hari ini.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tiada lagi teguran dan amaran, sebaliknya tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menimbulkan ketegangan antara kaum, agama dan budaya di negara ini.

Perdana Menteri berkata unsur negatif yang semakin membarah, bermula daripada isu kematian pelajar Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir akibat buli sehinggalah kontroversi Jalur Gemilang dipasang terbalik, perlu dihentikan segera.

Dalam pada itu, Fahmi menegaskan orang ramai tidak seharusnya mengambil undang-undang di tangan sendiri sebaliknya memberi kepercayaan kepada pihak berkuasa menjalankan tugas mereka.

“Mesej saya, dalam Bulan Kebangsaan ini, kibarkanlah Jalur Gemilang dengan megah dan rasa selamat agar kita, keluarga dan komuniti sentiasa diingatkan bahawa Malaysia ini milik kita bersama,” katanya.

Mengulas desakan sesetengah pihak supaya memboikot sambutan Hari Kebangsaan sekiranya kes Zara Qairina tidak diselesaikan, Fahmi berkata perkara itu tidak wajar.

"Merdeka itu acara kenegaraan, saya sarankan kita sambut. Saya pun mahukan keadilan untuk Zara. KIta tidak mahu isu buli ini berlarutan.

“Undang-undang sudah ada. Bukit Aman telah mengambil alih siasatan, inkues juga sudah dipohon dan tarikh akan ditetapkan dalam masa terdekat. Proses keadilan memang mengambil masa.

“Saya percaya kita akan mendapat keadilan. Jangan bina istana di atas pusara, jangan ambil kesempatan untuk mempopularkan diri. Yang kita mahukan adalah keadilan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan