KUALA LUMPUR, 17 Ogos (Bernama) -- Imigresen FC (IFC) mencipta kejutan dalam saingan Piala FA selepas menundukkan Terengganu FC (TFC) 2-1, dalam aksi penuh dramatik pada minit akhir perlawanan pertama pusingan 16 di Stadium Negeri Batu Kawan, Pulau Pinang, petang tadi.
Penyerang import Brazil Joao Pedro muncul wira tuan rumah, apabila menyempurnakan peluang pada minit ke-91, sekali gus memberikan bekalan berharga satu gol untuk dibawa ke aksi timbal balik di Kuala Terengganu pada 13 Sept depan.
Terdahulu, babak pertama menyaksikan dua jaringan Yann Mabella buat TFC pada minit ke-14 dan 36 dibatalkan, selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR).
Bagaimanapun gol pertama itu tidak dikira susulan kekasaran terhadap kapten IFC Mohd Rizal Ghazali oleh Engku Muhammad Nur Shakir, manakala gol kedua dibatalkan kerana ofsaid.
Bagaimanapun Mabella akhirnya meletakkan TFC di depan pada minit ke-50 selepas menyudahkan hantaran kombinasi menarik Engku dan Azam Azmi.
Kegembiraan itu bagaimanapun tidak bertahan lama apabila Rafael Iserhard Holstein menyamakan kedudukan empat minit kemudian, hasil gerakan pemain gantian dari Burundi Elvis Kamsoba.
IFC hampir mendahului pada minit ke-73 menerusi Mohammad Fayadh, tetapi gol itu dibatalkan selepas semakan VAR mengesahkan bola terkena tangan sebelum disudahkan.
Ketika aksi tampak menuju keputusan seri, Pedro memastikan kemenangan penuh bermakna buat IFC apabila menanduk masuk gol kedua pada penghujung permainan, menyalakan harapan skuad kendalian tuan rumah untuk terus mencipta sensasi dalam saingan kali ini.
Sementara itu di Paroi, Sabah FC memulakan kempen dengan bergaya apabila membelasah Bunga Raya FC 6-0, hasil hatrik Darren Yee (11’, 48’, (P) 53’) dua jaringan penalti masing-masing oleh Muhammad Jafri Muhammad Firdaus Chew (45+1) dan Ajdin Mujagic (81’) serta satu gol daripada Fergus Tierney. (19’).
Sementara itu, Penang FC pula menundukkan Melaka FC 2-0 di Stadium Hang Jebat, Krubong malam ini hasil dua jaringan pemain import Dylan Christopher Charles Wenzel Halls pada minit ke-48 dan ke-81.
Terdahulu, empat minit sebelum tamat babak pertama, jaringan Dylan telah dibatalkan selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) mendapati berlaku kekasaran.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial