BELANJAWAN 2025 > BERITA

Pelabur Asing Catat Belian Bersih Ekuiti Asia US$389.4 Juta Minggu Lepas

18/08/2025 12:22 PM

KUALA LUMPUR, 18 Ogos (Bernama) -- Pelabur asing terus mencatatkan belian bersih saham Asia untuk minggu kedua berturut-turut, dengan aliran masuk bersih berjumlah US$389.4 juta, menurut MBSB Investment Bank Bhd.

Dalam Laporan Aliran Dana pada minggu berakhir 15 Ogos 2025, bank pelaburan itu berkata hanya India dan Thailand mencatatkan aliran keluar asing bersih manakala negara lain menyaksikan aliran masuk bersih.

Korea Selatan mencatatkan aliran masuk terbesar sebanyak US$587.5 juta selepas Presiden Lee Jae Myung dan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump akan mengadakan pertemuan sidang kemuncak pertama mereka pada 25 Ogos di Washington untuk membincangkan langkah memperkukuh pakatan antara kedua-dua negara dan kerjasama dalam keselamatan ekonomi.

“Berdasarkan perjanjian tarif yang dicapai bulan lepas, kedua-dua pemimpin akan memacu kerjasama dalam sektor pembuatan, termasuk dalam semikonduktor, bateri dan pembinaan kapal serta mineral penting dan teknologi,” katanya.

Pemimpin Korea Selatan dan Vietnam turut berikrar untuk meningkatkan kerjasama ekonomi.

Indonesia mencatatkan aktiviti belian bersih untuk minggu kedua berturut-turut dengan aliran masuk sebanyak US$412.3 juta selepas menandatangani perjanjian perdagangan bebas dengan Peru pada Isnin di Jakarta.

Begitu juga, Taiwan mencatatkan aliran masuk bersih sebanyak US$90.4 juta, merupakan minggu kelapan berturut-turut dan tempoh belian asing terpanjang sejak permulaan data didapati pada 2021.

Sebaliknya, India mencatatkan aliran keluar terbesar di rantau ini sebanyak -US$347.8 juta, meneruskan tempoh aliran keluar selama lima minggu buat kali pertama sejak Mac 2025.

Bagaimanapun, walaupun terdapat pengeluaran dana asing, S&P Global Ratings menaikkan penarafan kredit jangka panjang India kepada “BBB” daripada “BBB-”, kenaikan pertama dalam tempoh 18 tahun berdasarkan pertumbuhan ekonomi yang kukuh, kredibiliti dasar monetari yang lebih baik dan konsolidasi fiskal yang berterusan.

Pada peringkat domestik, katanya pelabur asing meneruskan jualan bersih mereka untuk minggu keenam berturut-turut dengan aliran keluar bersih sebanyak -RM566.1 juta, merupakan penurunan sebanyak 50 peratus daripada aliran keluar sebanyak RM1.14 bilion minggu lepas.

“Pelabur asing mencatatkan jualan bersih pada setiap hari dagangan, dengan aliran keluar daripada -RM94.0 juta hingga -RM167.4 juta.

“Aliran keluar terbesar dicatatkan pada Jumaat, diikuti Khamis dengan -RM103.5 juta, Selasa (-RM101.5 juta) dan Isnin (-RM99.8 juta) manakala Rabu mencatatkan aliran keluar terkecil,” katanya.

Tiga sektor utama yang mencatatkan aliran masuk asing bersih ialah perladangan (RM77.7 juta), hartanah (RM52.7 juta) dan perkhidmatan kewangan (RM42.2 juta).

Sementara itu, tiga sektor utama yang mencatatkan aliran keluar asing bersih tertinggi ialah utiliti (-RM209.5 juta), telekomunikasi dan media (-RM185.5 juta) dan penjagaan kesihatan (-RM152.7 juta).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan