BELANJAWAN 2025 > BERITA

UAE Laksana Guguran Udara Ke-73 Bantuan Di Semenanjung Gaza

18/08/2025 01:02 PM

ABU DHABI, 18 Ogos (Bernama-WAM) -- Emiriah Arab Bersatu (UAE) meneruskan usaha kemanusiaannya di Semenanjung Gaza dengan melaksanakan guguran udara bantuan kali ke-73 pada Ahad di bawah Operasi Birds of Goodness, iaitu sebahagian daripada Operasi Chivalrous Knight 3.

Menurut Agensi Berita Emirates (WAM), operasi itu dijalankan dengan kerjasama Kerajaan Hashemite Jordan serta penyertaan Jerman, Itali, Belgium, Perancis, Denmark, Belanda, Singapura dan Indonesia.

Penghantaran merangkumi bekalan makanan asas yang disediakan dengan sokongan institusi serta badan amal berpusat di UAE, bagi membantu memenuhi keperluan penduduk yang berdepan situasi kemanusiaan sukar di Gaza.

Jumlah keseluruhan bantuan yang disalurkan melalui udara di bawah operasi terbabit melebihi 3,988 tan barangan bantuan pelbagai, termasuk makanan dan bekalan penting, sekali gus menegaskan komitmen berterusan UAE dalam menyokong rakyat Palestin. 

Inisiatif itu turut menonjolkan peranan utama UAE dalam kerja-kerja bantuan kemanusiaan antarabangsa dengan menggembleng usaha serantau dan global, selain memperkukuh pendekatan kemanusiaan bagi meringankan penderitaan mereka yang terjejas di kawasan krisis.

-- BERNAMA-WAM


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan