BELANJAWAN 2025 > BERITA

Graduan TVET Penggerak Industri Bernilai Tinggi - KPT

19/08/2025 12:43 PM

IPOH, 19 Ogos (Bernama) -- Graduan Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) kini dipersiapkan sebagai tenaga penggerak industri bernilai tinggi, kata Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Datuk Dr Megat Sany Megat Ahmad Supian.

Beliau berkata graduan TVET dapat menyumbang kepada keseimbangan sosial dan ekonomi negara serta mewujudkan persekitaran kerja kondusif dan berdaya saing, bukan sekadar pengisi kekosongan jawatan.

"Untuk itu, lima teras strategik telah digariskan dalam Dasar TVET Negara 2030 dan inilah asas kukuh yang sedang kita laksanakan secara menyeluruh," katanya ketika berucap sempena Istiadat Konvokesyen Politeknik Ungku Omar (PUO) ke-53 di Dewan Jubli Perak di sini hari ini.

Megat Sany berkata KPT, antaranya mengutamakan tadbir urus yang tersusun, bersinergi dan berakauntabiliti tinggi selain menekankan kualiti dan laluan pendidikan bertaraf antarabangsa bagi memastikan pelajar TVET bersaing pada peringkat global.

Beliau berkata KPT juga memperkukuh kerjasama strategik berimpak tinggi dengan industri untuk meningkatkan kualiti program TVET serta menekankan pembiayaan yang mampan dengan sokongan kewangan stabil untuk pembangunan fasiliti, pemantapan tenaga pengajar dan penyelidikan relevan industri.

"Kementerian bertekad menjadikan TVET pilihan utama kerjaya dengan mengubah persepsi masyarakat daripada pilihan terakhir kepada laluan strategik berasaskan kemahiran, berimpak tinggi, dan menjamin masa depan," katanya.

Dalam pada itu, Megat Sany berkata pelbagai inisiatif telah dan sedang digerakkan oleh KPT dalam usaha penambahbaikan fasiliti institusi pendidikan di bawah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK).

Kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM431.9 juta di bawah Rolling Plan Kelima Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) melibatkan pelaksanaan 111 projek naik taraf merangkumi pembinaan dan penaiktarafan makmal, bengkel latihan, bilik kuliah serta kemudahan digital untuk pelajar.

Sebanyak 1,820 graduan PUO menerima diploma dan sijil pada isitiadat konvokesyen kali ini yang bermula hari ini hingga Khamis.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan