PUTRAJAYA, 20 Ogos (Bernama) -- Kejayaan penganjuran Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2024 serta Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2025 isyarat jelas bahawa minat masyarakat terhadap bidang pertanian semakin meningkat.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata edisi MAHA akan datang dijangka lebih meriah bukan sahaja dari segi jumlah pengunjung, malah peningkatan nilai jualan serta penyertaan lebih meluas, khususnya golongan muda dalam sektor pertanian.
“MAHA tahun lepas tarik kehadiran lebih lima juta pengunjung, kita mahu MAHA akan datang bukan sahaja lebih hebat dari segi kehadiran pengunjung tetapi dari sudut nilai jualan dan dapat tingkatkan kefahaman mereka yang terlibat dalam sektor ini.
“Kita (kerajaan) nak jadikan pertanian ini bukan sekadar kerja sambilan tetapi punca pendapatan utama rakyat negara ini. Dan sekarang kita lihat ramai anak muda cebur diri dalam bidang pertanian,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sempena Sambutan Bulan Kebangsaan 2025 di sini hari ini.
MAHA 2024 yang memasuki edisi ke-100 telah menarik kehadiran lebih 5.5 juta pengunjung sepanjang 12 hari penganjuran di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang pada 11 hingga 22 Sept lepas serta merekodkan RM48.5 juta nilai jualan langsung.
HPPNK 2025 yang berlangsung di Sabah pada 1 hingga 3 Ogos lepas pula menerima kehadiran lebih 500,000 pengunjung, dengan nilai jualan melebihi RM15 juta.
Sementara itu, Ketua Setiausaha KPKM Datuk Seri Isham Ishak berkata MAHA akan datang dijangka menumpukan kepada perkembangan teknologi dalam bidang pertanian, termasuk penghasilan benih berkualiti tinggi bagi meningkatkan hasil serta daya saing sektor berkenaan.
“Kita mahu tingkatkan kualiti penganjuran MAHA dengan menumpukan kepada teknologi baharu dan peluang pelaburan, termasuk melalui program berasaskan ICT (teknologi maklumat). Usaha itu juga bertujuan menggalakkan lebih banyak usahawan tani, memastikan tanah terbiar dapat dimanfaatkan serta menangani cabaran perubahan iklim,” katanya.
Acara dwitahunan itu diadakan setiap dua tahun sekali di MAEPS, Serdang.
Dalam perkembangan lain, Isham berkata beras putih tempatan (BPT) bersubsidi seberat 10 kilogram pada harga RM26 sekampit masih terdapat di pasaran, dan ketika ini ketua isi rumah (KIR) miskin boleh membuat pembelian hingga lima kampit berbanding dua kampit sebelum ini.
Beliau berkata KPKM akan mengadakan perbincangan mengenai hala tuju pelaksanaan projek rintis penjualan 24 juta kampit BPT bersubsidi untuk tempoh enam bulan itu dalam Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) tidak lama lagi.
“Perbincangan dengan PM (Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim) akan diadakan dalam masa terdekat dan akan buat keputusan dalam mesyuarat (NACCOL) yang dipengerusikan PM,” katanya.
Pada 25 Feb lepas, Ketua Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras Datuk Badrul Hisham Mohd berkata 24 juta kampit BPT bersubsidi pada harga RM26 bagi pek 10 kilogram (kg) akan mula dijual dalam pasaran di seluruh Semenanjung mulai 1 Mac 2025.
Ia dikhususkan kepada 400,000 keluarga miskin sahaja dengan pembelian dua kampit dibenarkan bagi setiap KIR mengikut tatacara ditetapkan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial