PROJEK BALB DI LUNDU KINI PADA PERINGKAT DITENDER
KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) -- Projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) pada sebahagian daerah Lundu, Kuching, Sarawak yang bernilai RM119.1 juta kini pada peringkat untuk ditender, kata Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang.
Beliau berkata projek berkenaan dijangka memberikan manfaat bekalan air terawat kepada 36 kampung yang melibatkan 2,184 pintu rumah di daerah Lundu.
“Projek ini juga melibatkan tempoh pembinaan selama dua tahun … setelah projek itu siap kela, ia akan diserah kepada kerajaan negeri melalui Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak,” kata beliau pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Mordi Bimol (PH-Mas Gading) yang ingin tahu kampung dan kawasan perumahan dalam Parlimen Mas Gading yang belum mendapat air terawat serta status terkini dan jangkaan siap BALB melibatkan daerah Lundu.
-- BERNAMA
GUNA KEMUDAHAN PELEPASAN CUKAI TARIK MINAT PENAJA PERSATUAN SUKAN
KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) -- Kemudahan pengecualian cukai boleh digunakan persatuan bola dan sukan sebagai tarikan mendapatkan penajaan daripada syarikat swasta dan korporat, kata Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abdul Halim.
Beliau berkata kerajaan menyediakan kemudahan itu secara berterusan selaras dengan Subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan untuk membantu persatuan sukan mendapatkan penajaan, namun menegaskan aspek pengurusan kewangan yang cekap adalah faktor utama dalam isu masalah kewangan yang dihadapi persatuan sukan dan bola.
“Apa yang berlaku kepada kelab-kelab ini, ia bukan soal tiada penaja semata-mata, tapi kerana perbelanjaan melebihi pendapatan dan isu tunggakan gaji akibat pengurusan kewangan yang tidak telus dan cekap. Ini perkara yang perlu dibaiki terlebih dahulu dan diberikan penekanan,” kata beliau pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Zakri Hassan (PN-Kangar) berhubung kesediaan serta langkah kementerian dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) untuk memulihkan reputasi Liga Malaysia supaya kekal kompetitif untuk menarik minat penajaan dan penonton.
-- BERNAMA
KERJA BAIKI RUNTUHAN BAN KAMPUNG BATIN, KAMPUNG MERGONG DI KEDAH MULA NOVEMBER INI
KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) -- Kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan runtuhan ban sepanjang satu kilometer di Jalan Ban Kampung Batin hingga Kampung Mergong, Kedah akan bermula November ini dengan jangkaan siap sepenuhnya dalam tempoh dua bulan daripada tarikh pelaksanaan.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata jalan yang berada dalam kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) itu didaftarkan dalam Sistem MARRIS sebagai jalan pertanian di bawah seliaan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kedah dengan kos RM500,000.
“KPKM (Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan) sentiasa bersedia memberikan kerjasama dan sokongan kepada agensi teknikal yang berkaitan bagi memastikan kelestarian infrastruktur pertanian serta kesejahteraan komuniti setempat,” kata beliau pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) berhubung keperluan peruntukan khas daripada kementerian bagi menyelenggara Ban Kampung Batin sehingga Kampung Mergong yang rosak akibat hakisan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial