BELANJAWAN 2025 > BERITA

Penghargaan SARA: 22 Juta Pemegang MyKad Boleh Semak Kelayakan Bermula Hari Ini - MoF

21/08/2025 12:20 PM

PUTRAJAYA, 21 Ogos (Bernama) -- Sebanyak 22 juta pemegang MyKad warganegara Malaysia boleh menyemak kelayakan Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) di portal rasmi SARA iaitu https://sara.gov.my bermula hari ini, menurut Kementerian Kewangan (MOF).

Menerusi kenyataan hari ini, MOF memaklumkan setiap pemegang MyKad warganegara Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas yang lahir pada 2007 dan sebelum akan menerima bantuan itu, termasuk penerima SARA sedia ada.

“Tiada pendaftaran atau permohonan perlu dibuat memandangkan kelayakan untuk Penghargaan SARA adalah secara automatik berdasarkan data pemegang MyKad Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“Oleh yang demikian, orang ramai dinasihatkan agar tidak terpedaya dengan sebarang tipu helah atau ‘scammer’, memandangkan bantuan Penghargaan SARA akan disalurkan secara terus ke dalam MyKad penerima,” menurut kenyataan itu.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Penghargaan SARA merupakan usaha ikhlas Kerajaan MADANI, yang julung kalinya memanjangkan bantuan tunai kepada seluruh warganegara dewasa, untuk mengagihkan hasil reformasi kewangan awam kepada rakyat.

Menteri Kewangan itu berkata Bantuan Penghargaan SARA sebanyak RM100 ini akan disalurkan ke dalam MyKad penerima mulai 31 Ogos 2025 sempena Hari Kebangsaan, dan ia boleh dimanfaatkan hingga 31 Dis 2025.

Bagi memastikan limpahan negara ini dapat dimanfaatkan sebaiknya secara saksama, MOF memaklumkan baki Penghargaan SARA yang tidak dibelanjakan di hujung tahun akan diagihkan semula kepada golongan rentan melalui program Kerajaan MADANI yang akan diputuskan kelak.

“Penerima juga boleh memilih untuk menggunakan bantuan ini dengan membeli barangan keperluan asas dan menyumbang semula kepada mereka yang memerlukan,sebagai contoh pembelian barangan asas sebagai derma kepada NGO (badan bukan kerajaan), tempat ibadat dan sebagainya.

“Secara kolektif, sesebuah isi rumah berpeluang menerima jumlah kredit Penghargaan SARA yang lebih tinggi. Sebagai contoh, sebuah keluarga yang terdiri daripada sepasang suami isteri dan dua anak berumur 18 tahun dan ke atas akan menerima jumlah keseluruhan RM400,” menurut kenyataan itu.

MOF memaklumkan Bantuan Penghargaan SARA boleh dibelanjakan di lebih 7,300 premis runcit yang berdaftar dan akan bertambah dari semasa ke semasa dengan penerima boleh membeli lebih 100,000 barangan keperluan dalam 14 kategori.

“Ini termasuk makanan asas seperti beras dan telur, kebersihan rumah, ubat-ubatan, keperluan sekolah dan kebersihan diri.

“Penerima juga boleh merujuk kepada soalan lazim (FAQ) dan maklumat lanjut seperti senarai kedai mengikut bandar dan panduan membeli barangan SARA di portal rasmi,” menurut MOF. 

Dengan pelaksanaan program Penghargaan SARA, MOF memaklumkan jumlah keseluruhan peruntukan di bawah program Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA telah meningkat daripada RM13 bilion kepada RM15 bilion bagi 2025 iaitu 50 peratus lebih tinggi daripada RM10 bilion pada 2024.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan