BELANJAWAN 2025 > BERITA

Projek Pusat Data Di Iskandar Puteri Diarah Henti Kerja Kerana Langgar Syarat - Exco

21/08/2025 12:30 PM

ISKANDAR PUTERI, 21 Ogos (Bernama) -- Sebuah projek pusat data di kawasan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) menjadi yang pertama di Johor menerima notis berhenti kerja selepas melanggar syarat pembinaan.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata tindakan itu susulan aduan penduduk berhubung kerja tanah, jalan kotor, tiada pemasangan hoarding serta aktiviti pembinaan sehingga lewat malam.

“Pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu MBIP telah diarahkan mempertingkat pemantauan dan melaksanakan tindakan penguatkuasaan di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) sekiranya terdapat pelanggaran syarat.

“Sebagai bukti ketegasan, pusat data ini menjadi yang pertama di Johor menerima notis berhenti kerja kerana melanggar syarat yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kontraktor terlibat diwajibkan mematuhi lima syarat dalam tempoh dua minggu, iaitu menghentikan kerja tanah, memasang penghadang, tidak beroperasi pada waktu malam, memastikan jalan sentiasa bersih serta tidak menjejaskan kesejahteraan penduduk.

Mohd Jafni menegaskan pembangunan pusat data kekal tonggak agenda Digital Johor dan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) untuk menjadikan Johor hab ekonomi digital serantau serta mewujudkan ribuan peluang pekerjaan baharu.

Ketika ini, Johor mempunyai 13 pusat data beroperasi melibatkan MBIP (tujuh) dan Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) (enam). Sebanyak 15 lagi sedang dibina merangkumi Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) (tiga), MBIP (tujuh) dan MPKu (lima).

“Selain itu, lapan permohonan baharu turut dipertimbangkan akhir bulan lalu melibatkan MBJB (dua), MBIP (satu), MPKu (empat) dan MBPG (satu),” katanya.

Beliau berkata Johor kini menawarkan 7,618 ekar tanah industri berstatus terancang untuk pembangunan pusat data termasuk 600 ekar di kawasan IBTEC, Kulai yang dibangunkan Johor Land Berhad (JLG).

Bagi kawasan MBJB dan MBIP, kerajaan negeri akan mengehadkan kelulusan baharu bagi mengelakkan konflik guna tanah, menjaga keseimbangan perancangan bandar sedia ada serta memastikan pembangunan ditempatkan di lokasi strategik.

“Kerajaan Negeri menegaskan setiap pelaburan mesti mengutamakan keseimbangan antara kemajuan ekonomi dan hak rakyat. Kerajaan Negeri akan memastikan pemaju pusat data mematuhi semua garis panduan termasuk penggunaan tenaga, air, sistem kumbahan, pengurusan trafik serta mitigasi alam sekitar.

Kerajaan Negeri turut menyeru semua pihak, termasuk pemaju, masyarakat dan agensi berkaitan, agar bersama-sama menjayakan pembangunan digital yang progresif, inklusif dan mampan demi kesejahteraan rakyat Johor, katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan