BELANJAWAN 2025 > BERITA

Trafik KLIA Naik 10 Peratus Didorong Pengembangan Rangkaian - MAHB

21/08/2025 01:28 PM

KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) -- Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mencatatkan peningkatan 10.3 peratus untuk trafik penumpang antarabangsa pada Julai 2025, mencecah 3.9 juta berbanding 3.6 juta pada Jun. 

Menurut Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dalam kenyataan hari ini, peningkatan itu  sebahagiannya didorong oleh peluasan rangkaian termasuk pelancaran perkhidmatan tiga kali seminggu oleh Loong Air (GJ) antara Kuala Lumpur dan Xi’an, yang mengukuhkan hubungan KLIA dengan pasaran utama China.

Pengarah Urusan MAHB Datuk Mohd Izani Ghani berkata kesalinghubungan dengan China yang lebih kukuh membantu memacu pertumbuhan ekonomi Malaysia yang lebih luas selain memperkukuh peranan KLIA sebagai hab pilihan di Asia Tenggara.

“Hubungan udara secara terus dengan bandar sedang pesat membangun seperti Xi’an bukan sahaja meningkatkan trafik penumpang, malah membuka peluang perdagangan dan pelaburan yang lebih luas. 

“Ini meletakkan Malaysia sebagai pintu masuk penting bagi pergerakan antara China dan Asia Tenggara, menyokong pertumbuhan dalam sektor penerbangan, pelancongan dan perdagangan serta meningkatkan integrasi serantau,” katanya.

Dalam rangkaian lapangan terbang tempatan, Malaysia Airports mengendalikan 8.9 juta penumpang pada Julai, terdiri daripada 4.6 juta penumpang antarabangsa dan 4.3 juta penumpang domestik.

Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gökçen Istanbul, aset milik penuh kumpulan itu di Türkiye, mencatatkan 4.4 juta penumpang pada bulan tersebut, iaitu 2.3 juta penumpang antarabangsa dan 2.1 juta penumpang domestik.

Secara keseluruhan, lapangan terbang di bawah kumpulan itu mengendalikan sebanyak 13.3 juta penumpang pada Julai, meningkat 5.7 peratus daripada Jun.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan