BELANJAWAN 2025 > BERITA

NRES Perkukuh Pembangunan Kapasiti, Kerjasama Bagi Penguatkuasaan Biokeselamatan

21/08/2025 03:39 PM

SHAH ALAM, 21 Ogos (Bernama) -- Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) memperkukuh inisiatif pembangunan kapasiti dan kerjasama strategik bagi menangani kekurangan tenaga mahir profesional dalam penilaian risiko dan penguatkuasaan biokeselamatan.

Timbalan Menterinya Datuk Seri Huang Tiong Sii berkata setakat ini, Jabatan Biokeselamatan tidak mempunyai ramai pegawai teknikal dan saintis yang berkelayakan serta memiliki kepakaran dalam menilai risiko Organisma Ubah Suai Genetik (GMO).

Beliau berkata dengan kemajuan pesat dalam bidang bioteknologi moden, dunia kini menyaksikan peningkatan kemunculan Organisma Hidup Diubah Suai (LMO) dan GMO, terutamanya produk GMO dalam sektor pertanian dan penjagaan kesihatan.

“Kesedaran tinggi terhadap undang-undang biokeselamatan menyebabkan peningkatan mendadak permohonan daripada universiti dan institusi penyelidikan. Walaupun ini menunjukkan tahap pematuhan yang sihat, ia turut memberi tekanan kepada pegawai teknikal dan saintis kita yang bilangannya terhad.

“Cabaran bertambah apabila melibatkan penilaian terhadap produk GMO untuk makanan, makanan ternakan dan pemprosesan, dengan sebarang kelewatan boleh memberi implikasi serius terhadap keselamatan makanan serta penyampaian perkhidmatan kepada pihak berkepentingan,” katanya dalam ucapan sempena Simposium Biokeselamatan yang berlangsung di sini hari ini.

Huang berkata kementerian sedang menyemak semula Akta Biokeselamatan 2007 bagi memastikan ia kekal responsif terhadap kemunculan teknologi baharu, bersedia dari segi peraturan dan menangani produk inovatif serta kekaburan dalam sistem kawal selia sedia ada.

Beliau berkata langkah lain termasuk pelaburan dalam teknologi saringan dan pengesanan canggih, penambahbaikan keupayaan makmal, pengukuhan kerjasama dengan organisasi yang mempunyai keupayaan dan kepakaran serta memupuk kesedaran awam tentang isu berkaitan GMO.

Kerajaan juga memfokuskan kepada penambahbaikan penyelarasan antara agensi, khususnya dalam pemantauan bersepadu, perkongsian maklumat risikan dan data selain penstrukturan semula Jabatan Biokeselamatan untuk mempertingkatkan keberkesanannya melalui pembangunan modal insan.

“Di peringkat global, teknologi penyuntingan genetik seperti CRISPR-Cas9 menghasilkan produk yang kabur dari segi takrifan tradisional GMO sekali gus mewujudkan ketidakpastian dalam kawal selia. Sebagai contoh, tanaman yang genetiknya telah disunting tanpa mengandungi DNA asing adalah sukar untuk dikesan menggunakan kaedah konvensional.

“Ini merupakan cabaran besar kepada negara membangun seperti Malaysia yang bergantung kepada kaedah pemantauan tradisional dan berdepan kekangan kapasiti makmal. Lebih membimbangkan, produk GMO seperti benih dan makanan kini mudah menembusi pasaran melalui perdagangan tidak formal dan platform e-dagang sekali gus terlepas pemantauan konvensional,” katanya.

Huang turut menekankan keperluan Malaysia dan negara ASEAN lain untuk bukan sekadar mengikuti perkembangan malah menjadi peneraju dalam penggunaan inovasi secara bertanggungjawab dan selamat  agar pembangunan bioteknologi dapat direalisasikan tanpa menjejaskan kesihatan awam, alam sekitar atau biodiversiti.

Majlis itu juga menyaksikan pertukaran dokuman kerjasama strategik bersama Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) bertujuan memperkukuh penguatkuasaan Akta Biokeselamatan 2007.

Kerjasama itu bukan sahaja untuk mempertingkat kawalan terhadap GMO di pintu masuk negara, malah merangkumi aspek latihan pengawai, menambah baik perkongsian data dan pelaksanaan prosedur lebih bersepadu.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan