BELANJAWAN 2025 > BERITA

Melaka Bakal Lancar Program GAMA Bendung Kes Buli Di Asrama

21/08/2025 06:38 PM

MELAKA, 21 Ogos (Bernama) -- Kerajaan Melaka menerusi Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) akan melancarkan Program Gerakan Anti Buli Murid Asrama (GAMA) sebagai usaha memperkukuh persekitaran sekolah berasrama yang lebih selamat dan bebas buli, pada minggu depan.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata program itu merupakan inisiatif strategik dan nilai tambah kepada penubuhan Pasukan Petugas Anti Buli Melaka sejak 2019, yang berperanan membendung isu buli di peringkat sekolah asrama.

"Program GAMA dianjurkan Unit Hal Ehwal Murid, Sektor Pembangunan Murid JPN Melaka dengan kerjasama Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka serta Bahagian Undang-Undang Keluarga Islam Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM).

"Pelaksanaan program ini juga selari dengan agenda Reformasi@Sekolah Kementerian Pendidikan yang menekankan sokongan, akauntabiliti dan kerjasama strategik antara sekolah, komuniti setempat serta agensi penguat kuasa," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu beliau hadir pada Majlis Pecah Tanah Pembinaan Bangunan Asrama Sekolah Menengah Pay Fong yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Beliau berkata pelancaran program GAMA akan diadakan di Sekolah Menengah Sains Muzaffar Syah pada 27 Ogos ini.

Dalam pada itu,  Rahmad berkata tindakan lebih tegas akan diambil terhadap pelajar yang terbabit dalam kes buli di sekolah berasrama di Melaka, termasuk kemungkinan dikeluarkan daripada sekolah.

Beliau berkata meskipun kes yang dikesan di Melaka baru-baru ini tidak melibatkan sentuhan fizikal tetapi berbentuk ejekan, sindiran dan denda, ia tetap dikategorikan sebagai buli dan tidak boleh dipandang ringan.

"Kita telah mengarahkan JPN menjalankan siasatan menyeluruh terhadap kes buli yang berlaku baru-baru ini dan memastikan tindakan sewajarnya diambil terhadap pelajar yang terbabit.

“Saya berharap tindakan lebih tegas ini dapat memberi pengajaran supaya kes buli tidak berulang. Saya juga menyeru pelajar untuk tidak melakukan perbuatan buli sebaliknya saling membantu kerana rakan di asrama adalah saudara yang sama-sama menuntut ilmu,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan